puterialia@hmetro.com.my
Gelora semangat peminat setia kumpulan sensasi K-Pop, Red Velvet yang dikenali sebagai ReVeluv, kembali memuncak apabila penyanyi jelita, Joy melakar sejarah tersendiri menerusi konsert solo pertamanya di Malaysia yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Menerusi rangka siri jelajah Asia, JOY Splash, konsert itu menggabungkan persembahan nyanyian bertenaga serta sesi ramah mesra yang mewujudkan suasana intim buat 1,500 penonton yang hadir.
Persembahan Joy ini melengkapkan siri kemunculan solo anggota Red Velvet di negara ini selepas Irene dan Seulgi menjayakan BALANCE World Tour di Mega Star Arena pada September tahun lalu, disusuli Wendy dengan konsert W: EALIVE di lokasi sama pada Disember tahun lalu.
Konsert yang bermula tepat jam 8 malam itu dibuka dengan lagu popular, Hello sebelum Joy menyapa peminat dengan penuh emosi.
“Saya rindu anda semua. Gembira sekali dapat melihat anda secara berdepan begini,” katanya.
Joy kemudian meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu Je T’aime dan La Vie En Bleu sebelum membawa peminat mengimbau kenangan menerusi lagu tema drama Korea (OST) seperti Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Momen paling menyentuh hati apabila Joy meluangkan masa membaca dua surat yang ditulis peminatnya ketika berada di atas pentas.
Salah satu surat meluahkan keresahan peminat mengenai masa depan yang kemudian menemui ketenangan melalui muzik Joy.
“Lagu awak memberi keselesaan kepada saya dan ia sangat menyentuh hati,” tulis peminat berkenaan.
Joy menutup segmen pertama dengan persembahan lagu Nothing’s Gonna Change My Love for You dendangan asal George Benson yang mendapat sorakan gemuruh peminat.
Memasuki segmen kedua, suasana semakin rancak dengan lagu Get Up and Dance, disusuli sesi permainan interaktif.
Joy turut berinteraksi dengan peminat melalui nota yang ditulis sebelum konsert dan anggota Kumpulan Red Velvet itu membalasnya dengan menulis pesanan pada mangga kunci yang kemudian diberikan kepada peminat bertuah. Selain itu, ada permainan melukis turut menceriakan suasana konsert.
Kemuncak segmen kedua bermula apabila Joy membuat persembahan tarian solo menerusi potongan lagu Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo, sekali gus mengubat rindu peminat terhadap lagu hit Red Velvet.
Lebih menarik, Joy turut mengajak peminat menyanyi secara ‘acappella’ untuk lagu yang berjudul Ice Cream Cake.
Persembahan diteruskan dengan lagu Unwritten Page dan diakhiri dengan Love Splash sebelum segmen terakhir menyaksikan Joy mendendangkan Day By Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green.
Sebelum lampu di atas pentas mula gelap, Joy turut menghiburkan peminat dengan lagu kegemaran ramai daripada Red Velvet iaitu Zimzalabim dan You Better Know sebelum menutup tirai malam penuh bermakna itu dengan lagu Hello kembali.
“Saya sangat gembira hari ini. Terima kasih banyak-banyak. Melihat wajah anda yang penuh kasih sayang dan sokongan yang diberikan, membuatkan saya berasa keputusan untuk meneruskan siri jelajah ini adalah tepat,” katanya yang turut menyuarakan harapan untuk kembali ke Malaysia sekali lagi.
Meskipun siri jelajah penuh Kumpulan K-POP Red Velvet masih menjadi tanda tanya, aktiviti solo setiap anggotanya terbukti mendapat sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia.
Malam JOY Splash yang berlangsung dua jam itu nyata meninggalkan kenangan manis dan hubungan yang erat antara Joy serta peminatnya di tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd

