MG bawa momentum baharu industri EV

MG bawa momentum baharu industri EV

lizamridzuan@hmetro.com.my

Jenama automotif dari Britain menerusi MG Motor Malaysia terus mengembangkan pengaruhnya dalam pasaran tempatan apabila merekodkan pertumbuhan positif sepanjang suku pertama tahun ini, selari dengan usaha memperluas rangkaian, memperkenalkan model baharu serta memacu pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Bersempena sambutan ulang tahun kedua jenama itu di Malaysia menerusi acara ‘Passion To Drive’ di Bamboo Hills, Kuala Lumpur, ia turut mengumumkan beberapa perkembangan penting termasuk peningkatan jualan, peluasan pusat servis dan pelancaran model pemasangan tempatan (CKD).

Antara pencapaian utama syarikat itu ialah pengiktirafan terhadap model sport elektriknya, MG Cyberster yang menerima anugerah ‘Performance Car of the Year’ daripada MARii, sekali gus mengangkat imej jenama itu dalam segmen EV berprestasi tinggi.

Pada masa sama, jenama ini turut memulakan 2026 dengan mempererat hubungan bersama rangkaian pengedar menerusi persidangan tahunan serta sambutan Tahun Baharu Cina yang menghimpunkan wakil pengedar dari seluruh negara.

Satu lagi perkembangan penting dicapai menerusi pelancaran rasmi MG S5 EV versi CKD di fasiliti EP Manufacturing Berhad di Melaka, sekali gus menjadikannya model EV pertama jenama ini yang dipasang secara tempatan di Malaysia.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memperluas proses pemasangan tempatan, termasuk pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem EV tempatan. Model berkenaan kini ditawarkan pada harga bermula RM116,900.

Dalam usaha mendekati pengguna, ia turut mengadakan pelbagai kempen pandu uji dan pameran bergerak di beberapa pusat beli-belah utama seperti Desa ParkCity, The Curve dan IOI City Mall bagi memperkenalkan rangkaian modelnya kepada lebih ramai pelanggan.

Di peringkat global pula, mereka terus memberi fokus terhadap pembangunan teknologi apabila memperkenalkan sistem hibrid MG Hybrid+ serta bateri EV generasi baharu ketika MG Tech Day di Frankfurt, Jerman.

Dari segi prestasi jualan, mereka mencatat peningkatan 57 peratus berbanding suku keempat tahun lalu dan naik 39 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap jenama itu.

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan, syarikat itu merancang membuka pusat 3S baharu di Kuantan dan Rawang selain menambah fasiliti badan dan cat di seluruh negara bagi memudahkan urusan pelanggan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top