khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini sedang meneliti prosedur penambahbaikan permit kenderaan dan permit operator bagi memastikan pemandu bas sentiasa dalam keadaan terbaik sebelum memulakan perjalanan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mahu memperketatkan lagi syarat permit itu agar pemilik syarikat dan pemegang lesen kenderaan perdagangan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Pihak JPJ sedang berbincang dengan APAD, kita akan tambah baik dan perketatkan lagi syarat permit untuk kita pastikan semua pemilik syarikat, pemegang lesen kenderaan perdagangan ini memastikan semua peraturan itu perlu dipatuhi.
“(Ia) sebelum mereka membenarkan pemandu mereka membuat perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menjadi tetamu undangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, di Balai Berita Bangsar, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan pemandu bas ekspres yang klip videonya memandu secara berbahaya dengan memegang stereng sebelah tangan dan tular di media sosial sejak Khamis minggu lalu.
Lelaki berusia 53 tahun itu dilapor sudah ditahan polis ketika hadir memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah semalam.
Dalam masa sama, Aedy Fadly berkata, pihaknya juga sentiasa mengadakan program bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses saringan dadah atau alkohol.
“Untuk saringan dadah, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa AADK dan polis untuk alkohol.
“Untuk proses saringan dadah ini, kita perlu mendapat kerjasama strategik dengan AADK kerana di peringkat JPJ kita sentiasa mengadakan operasi bersepadu ini.
“Kita memerlukan bantuan dan kerjasama daripada agensi luar untuk membuat saringan kerana kepakaran teknikal itu ada di agensi tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




