am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mempertingkatkan operasi bagi mengesan van persendirian Thailand atau lebih dikenali sebagai roktu yang dijangka banyak memasuki negara ini sepanjang cuti persekolahan ini.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi tertumpu kepada kesalahan penyalahgunaan permit edaran antarabangsa (ICP) termasuk kenderaan persendirian yang membawa penumpang untuk pelancongan.
Katanya, selain Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah juga dikesan menjadi laluan aktif yang digunakan pemandu roktu membawa penumpang untuk pelancongan.
“Kemuncaknya adalah pada cuti persekolahan terutama musim perayaan yang mana sebelum ini JPJ pernah menahan 23 roktu dalam tempoh seharian seterusnya mengeluarkan saman atas kesalahan terbabit.
“Apabila kita semak, roktu itu bukan di bawah syarikat tapi persendirian manakala kenderaan persendirian pula membawa penumpang pelancongan yang ada kalanya mengaku sebagai saudara mara.
“Sebab itu kita akan mempergiatkan operasi dan turut akan babitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Kelantan untuk bersama kita nanti,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka Persatuan Institut Memandu Kelantan (PIMK) dan JPJ 2025 di Kompleks Sukan dan Belia Panji, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain operasi bersepadu, Ops Tunggak yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini masih dijalankan sehingga sekarang dan terbaru, dua roktu disita pada Ogos lalu kerana salahguna ICP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




