JPJ sita 214 kenderaan komersial dalam Ops CNY 2024 – Lokman

JPJ sita 214 kenderaan komersial dalam Ops CNY 2024 – Lokman

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 214 kenderaan komersial sepanjang lapan hari Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 yang bermula 1 Februari lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Datuk Lokman Jamaan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 adalah kenderaan perkhidmatan awam, manakala 199 pula melibatkan kenderaan perkhidmatan barangan.

“Menerusi Ops Khas yang dilaksanakan dalam tempoh mulai 1 hingga 8 Februari 2024, JPJ telah memeriksa 243,257 pelbagai kenderaan.

“Sejumlah 57,110 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan, iaitu melibatkan 23 peratus adalah kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang media, di sini, malam ini.

Terdahulu beliau menyertai Ops Khas Sempena Tahun Baru Cina 2024 kira-kira lebih sejam di Plaza Tol Kemuning, di sini.

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Ops Khas ini bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dan analisis awal data hasil Ops Khas selama lapan hari mendapati, tahap kesedaran dan pematuhan kepada peraturan-peraturan di bawah Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah, terutamanya kenderaan komersial berada pada tahap masih rendah dan tidak memuaskan.

“JPJ akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan melalui Ops Khas ini.

“Ia bagi memastikan pengguna termasuk pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette