hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Puchong: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti prosedur tambahan termasuk pelabelan tayar bagi menambahbaik kelulusan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu akan diperhalusi bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan pusat pemeriksaan kenderaan lain yang akan dilantik.
Menurutnya, ia bagi memastikan kenderaan yang diperiksa terutama penggunaan tayar mematuhi tahap dan syarat ditetapkan mengikut penandaan Standard Malaysia (MS) 224.
“Kita sedang berbincang dengan Puspakom yang mana proses (atau) prosedur yang ketat akan ditambah baik. JPJ sedang mengenalpasti beberapa prosedur tambahan untuk kita bincang (dan) arahkan pihak Puspakom untuk menambahbaik prosedur kelulusan pemeriksaan kenderaan antaranya membabitkan tayar.
“Kita sedang meneliti pelaksanaan sekiranya kenderaan yang datang ke pusat pemeriksaan dan apabila diluluskan (pemeriksaan kenderaan), Puspakom akan melabelkan tayar yang sudah diluluskan,” katanya pada sidang media operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Katanya, penggunaan tayar celup dibenarkan kerana mempunyai pengiktirafan oleh Sirim dan dua lagi syarikat yang mengeluarkan sijil pengiktirafan berkenaan.
“(Namun) masih ada segelintir pengusaha tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, di mana tayar pneumatik atau tayar celup ini (masih) menggunakan pelabelan, pensijilan yang sudah tamat tempoh.
“Kerjasama ini (operasi berkenaan) untuk kita mengawal dan mengurangkan isu kemalangan jalan raya membabitkan apa-apa kenderaan yang menggunakan tayar tidak disahkan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




