Saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada bukan warganegara tidak diberikan sewenang-wenangnya, dengan keputusan permohonan tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala.
JPN melalui kenyataan memaklumkan setiap permohonan kewarganegraan diterima diproses dan diteliti sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.
Kenyataan itu merujuk kebimbangan dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, katanya pada masa ini kawalan prosedur utama bagi permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malayisa (JIM).
“Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan JIM.
“Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak,” katanya.
MyPR adalah kad dikeluarkan JPN kepada individu bukan warganegara yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status pemastautin tetap melalui Permit Masuk oleh JIM.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.
Tambah JPN, selain tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala, setiap permohonan juga akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.
Katanya, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terbabit dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.
“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya.
“Setiap permohonan kewarganegraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada
“KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.
“Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




