JPNS siasat dakwaan pembabitan pelajar dalam penyajian minuman alkohol

JPNS siasat dakwaan pembabitan pelajar dalam penyajian minuman alkohol

am@hmetro.com.my

Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sedang meneliti semua keterangan termasuk pembabitan pelajar sekolah di sini, yang didakwa terkait dengan penyajian minuman beralkohol dalam satu majlis pada 5 September lalu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa siasatan berkenaan bertujuan bagi memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti.

“Siasatan terhadap aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sedang dimuktamadkan, termasuk penelitian terhadap pematuhan prosedur oleh pihak sekolah.

“Jika terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau kecuaian dalam pelaksanaan tanggungjawab, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

“JPNS akan memastikan setiap dapatan siasatan diteliti secara menyeluruh dan tindakan susulan dilaksanakan demi melindungi kepentingan pelajar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, JPNS memandang serius dakwaan pembabitan pelajar sekolah terbabit yang dikatakan berlaku ketika majlis makan malam persatuan bekas murid.

Katanya, JPNS menegaskan bahawa pelajar sekolah tidak sepatutnya dibabitkan dalam aktiviti mengendalikan atau menghidangkan minuman beralkohol.

“Kebajikan, keselamatan dan maruah pelajar mesti sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira pihak yang menganjurkan sesuatu program.

“Berdasarkan maklumat awal, majlis berkenaan dianjurkan oleh persatuan alumni di luar kawasan sekolah,” katanya yang memaklumkan pihak sekolah dan persatuan alumni berkenaan telah menafikan dakwaan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top