Kuala Lumpur: Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) memulakan jelajah promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-14 di sekitar ibu negara hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027 Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata ia merangkumi lima lokasi strategik, iaitu Pasar Seni, The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
“Pelbagai aktiviti interaktif dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat menjelang penganjuran dua temasya ini pada tahun depan dengan antara pengisian utama ialah perarakan trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya.
“Selain itu, turut diadakan sesi ramah mesra dengan atlet negara, penampilan maskot rasmi TUAH, persembahan pancaragam dan pasukan sorak, permainan interaktif bertemakan sukan, pengagihan cenderamata serta sesi fotografi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jelajah promosi itu di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata jelajah selama tiga bulan itu akan diteruskan ke zon timur, selatan dan utara pada Januari tahun depan.
“Jelajah ini juga diperluas ke sekolah, kampung sehingga ke kawasan pedalaman, insya-Allah. Bukan setakat di kota,” katanya.
Selepas jelajah promosi dikendalikan MASOC berakhir, Abdul Rashid berkata pihaknya akan meneruskan usaha mempergiat promosi dua temasya sukan itu menerusi penyertaan dalam pelbagai program anjuran kementerian dan agensi kerajaan.
Beliau berkata MASOC turut mengalu-alukan pelawaan daripada agensi kerajaan sebagai platform tambahan memperluas promosi temasya itu.
“Sebagai contoh, Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengadakan karnival pada April depan dan mengundang kita untuk membuat promosi,” katanya.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September manakala APG 2027 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




