BUKIT MERTAJAM : Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) merampas kira-kira 912.5 kilogram (kg) karkas lembu berhampiran pasar awam Bukit Mertajam, di sini, pagi tadi.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, karkas tersebut dijumpai oleh sepasukan anggota penguat kuasa JPVPP selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan luar pasar berkenaan susulan satu serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Karkas lembu yang bernilai RM36,500 itu disyaki bukan disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau yang dilesenkan.
“Oleh itu, rampasan dibuat terhadap karkas berkenaan sebelum ia dibawa ke pejabat (JPVPP) untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan karkas lembu dan kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM81,500.
“Kes itu kini disiasat mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah binatang (Kawalan penyembelihan 2009),” kata beliau.
Tambahnya, kes terbabit adalah rampasan terbesar yang dilakukan oleh pihaknya bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.-UTUSAN



