HARGA paling tinggi mudah menarik perhatian apabila sebuah aset besar dijual, tetapi bagi dana persaraan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), keputusan terbaik perlu mengambil kira manfaat selepas wang pembelian diterima.
Dalam penjualan Boustead Plantations Bhd (BPlant), LTAT mesti mendapatkan nilai keseluruhan terbaik melalui rakan strategik yang sesuai dan proses berintegriti.
Hasil jualan perlu mengukuhkan kewangan dana, sementara pembeli mempunyai kemampuan membangunkan BPlant serta meningkatkan nilai pelaburan LTAT yang dikekalkan.
Tawaran tinggi di atas kertas belum tentu memberikan hasil terbaik jika pembiayaannya tidak pasti, syaratnya sukar dipenuhi atau komitmen pembangunan tidak mencukupi.
Oleh itu, harga perlu ditimbang bersama kepastian transaksi, risiko pelaksanaan dan manfaat jangka panjang kepada pencarum.
Penjualan mesti memperkukuh dana
Keperluan penstrukturan berakar daripada kerugian Boustead Holdings sejak sebelum pandemik, beban hutang kumpulan dan penurunan nilai stok vaksin COVID-19 Pharmaniaga sebanyak RM552.3 juta pada 2022.
LTAT mengambil alih baki saham Boustead Holdings pada 2023 bagi mempercepat pemulihan, manakala pengambilalihan BPlant diteruskan sendiri selepas transaksi Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dibatalkan sebelum BPlant dinyahsenaraikan pada Januari 2024.
Penjualan sekarang perlu membantu mendapatkan semula modal, mengurangkan hutang serta kos pembiayaan dan mempelbagaikan pelaburan.
Namun, keperluan tunai tidak seharusnya menyebabkan harga mengatasi semua pertimbangan lain.
Ukuran kewangannya ialah hasil bersih yang benar-benar diterima LTAT serta tanggungjawab dan risiko yang masih ditanggung selepas transaksi selesai.
Rakan strategik membawa lebih daripada wang
SD Guthrie Bhd, Tradewinds Plantation Bhd dan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd disebut dalam proses penjualan, masing-masing dengan latar perniagaan berbeza.
SD Guthrie mempunyai rantaian sawit bersepadu, Tradewinds milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari mempunyai asas ladang dan kilang, manakala rangkaian Achi Jaya merangkumi perladangan, hartanah serta pelaburan.
Persoalannya, antara SD Guthrie, Tradewinds dan Achi Jaya, siapakah rakan strategik yang paling sesuai untuk BPlant dan mampu mencipta sinergi terbaik selepas penggabungan?
Saiz dan skala mungkin tidak menjawab persoalan itu. Syarikat besar tidak semestinya sesuai untuk digabungkan, dan keluasan ladang tidak menjamin keselarasan operasi dengan BPlant.
Pembeli juga mempunyai keutamaan portfolio masing-masing. Tiada jaminan pemilik baharu akan mengekalkan BPlant dalam bentuk sedia ada, sama ada melalui penggabungan, penyusunan semula atau pelupusan aset pada masa hadapan.
Komitmen pembangunan mesti boleh diukur
PublicInvest menganggarkan keperluan penanaman semula BPlant sebanyak RM423 juta melibatkan 28,245 hektar, menunjukkan tanggungjawab kewangan pembeli berterusan selepas pengambilalihan.
Pokok berusia perlu diganti, kilang diselenggara dan produktiviti ditingkatkan melalui modal serta pengurusan yang konsisten.
Kesesuaian strategik perlu dibuktikan melalui pelan yang menjelaskan bagaimana pembeli akan meningkatkan hasil, memperkukuh pengurusan dan membangunkan potensi aset BPlant.
Jumlah pelaburan, sumber pembiayaan, tempoh pelaksanaan dan sasaran prestasi perlu boleh dipantau serta disokong komitmen yang boleh dikuatkuasakan.
Jika tawaran lebih rendah dinilai lebih sesuai, manfaat tambahannya mesti mempunyai asas yang kukuh untuk mewajarkan perbezaan harga.
Keadaan paling ideal ialah apabila tawaran tertinggi turut datang daripada pembeli yang paling sesuai, iaitu yang menggabungkan harga terbaik, kepastian pembiayaan dan komitmen pembangunan yang jelas.
Dalam keadaan itu, LTAT tidak perlu memilih antara nilai dan kesesuaian.
Integriti proses melindungi pencarum
Semua pembida mesti dinilai secara telus dan adil menggunakan kriteria konsisten, termasuk kemampuan kewangan, harga, kepastian transaksi dan kesesuaian strategik.
Nama besar, status tersenarai atau hubungan perniagaan tidak sepatutnya memberikan kelebihan automatik tanpa penelitian terhadap merit cadangan.
Sebagai prinsip tadbir urus, keputusan perlu berpandukan penilaian yang berdisiplin dan tidak dipengaruhi tekanan yang mengetepikan proses serta peraturan.
Menghormati proses bukan bermakna keputusan kebal daripada pertanyaan, sebaliknya LTAT perlu mampu menjelaskan asas pemilihan dan manfaat yang dijangka diperoleh.
Penjelasan itu membolehkan pencarum memahami mengapa sesuatu cadangan dianggap memberikan hasil keseluruhan yang lebih baik.
Nilai baki pegangan turut penting
Tawaran KLK pada 2023 menilai keseluruhan BPlant sekitar RM3.47 bilion, tetapi perbandingan sekarang perlu mengambil kira peratusan pegangan, aset, hutang dan syarat transaksi.
Di bawah cadangan penjualan 75 peratus, LTAT akan mengekalkan baki 25 peratus, menjadikan prestasi selepas pengambilalihan penting kepada dividen serta nilai pelaburannya.
Justeru, keupayaan rakan strategik baharu dalam mengurus ladangnya sendiri menjadi penanda aras sejauh mana ia mampu memacu prestasi BPlant.
Rakan strategik yang meningkatkan prestasi BPlant berpotensi memperkukuh pulangan pegangan tersebut, walaupun manfaat masa depan mesti dinilai berdasarkan andaian yang realistik.
Kesinambungan penyertaan Bumiputera juga perlu dilindungi, selaras dengan pertimbangan yang mencetuskan bantahan terhadap transaksi KLK di Parlimen pada 2023.
Syarat mengenai hak LTAT, pelupusan tanah, perubahan kawalan dan pembangunan ladang perlu jelas supaya perlindungan tidak berakhir apabila perjanjian ditandatangani.
Tanggungjawab sosial melangkaui keuntungan
Sebagai dana berkaitan Kerajaan, LTAT memikul mandat khusus terhadap pencarum. Dengan LTAT terus mengekalkan pegangan yang signifikan dalam BPlant, pembida yang dipilih perlu komited untuk mendukung mandat tersebut selepas transaksi selesai.
Pekerja ladang dan kilang serta komuniti setempat bergantung pada kesinambungan operasi BPlant, menjadikan pemeliharaan pekerjaan satu pertimbangan penting dalam memilih pembeli.
Sumbangan BPlant kepada anggota ATM, veteran dan keluarga mereka juga perlu diteruskan. Persoalan utamanya, adakah pembeli bersedia meneruskan komitmen terhadap ATM dalam jangka panjang, dan bukan hanya dalam tempoh awal selepas pengambilalihan?
Komitmen itu perlu dimeterai dalam perjanjian, termasuk kesediaan pembeli untuk terus bekerjasama dengan LTAT sebagai pemegang saham dan rakan strategik selepas transaksi selesai.
Inilah peluang LTAT mencipta nilai berganda untuk pencarum — memperkukuh kewangan melalui hasil jualan dan meningkatkan nilai pegangan yang dikekalkan melalui rakan strategik yang tepat.
*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian



