Jualan naik 4 kali ganda

Jualan naik 4 kali ganda

lokman.khairi@hmetro.com.my

Gerik: Demi menyara kehidupan empat anak, pasangan suami isteri dari Felda Rancangan Lawin Selatan, di sini, menolak rasa malu dan berniaga nasi kukus ayam berempah di tepi jalan kira-kira 11 tahun lalu.

Shamsul Bahrain Hamid, 49, dan isterinya, Nor Ezrien Zampa, 44, berkata, mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan hanya mendirikan payung di tepi jalan utama dalam kawasan FELDA tanpa memiliki premis tetap.

Shamsul Bahrain yang juga generasi kedua peneroka FELDA berkata, ketika itu dia masih bekerja sebagai jurujual, manakala isterinya menguruskan perniagaan nasi kukus pada waktu siang.

Menurutnya, kehidupan sebagai peniaga tepi jalan bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai kekangan termasuk ketiadaan bekalan air, ruang perniagaan yang terhad serta bergantung kepada keadaan cuaca.

“Ketika itu kami tiada kedai sendiri. Hanya pacak payung di tepi jalan dan berniaga seadanya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

“Walaupun susah, kami teruskan juga kerana perniagaan inilah sumber pendapatan utama keluarga,” katanya.

Nor Ezrien berkata, selepas hampir dua tahun berniaga di tepi jalan, mereka berusaha mendapatkan premis yang lebih selesa dengan menghubungi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebaik mengetahui projek Pekan Kecil PKNPk Lawin sedang dibangunkan.

Katanya, permohonan mereka berjaya selepas menghadiri sesi temu duga yang diadakan PKNP dan peluang itu menjadi titik perubahan kepada kehidupan keluarga mereka.

“Alhamdulillah, prosesnya mudah. Kami mohon dan dipanggil menghadiri temu duga sebelum ditawarkan satu lot Gerai Desa pada 2017 pada harga yang bepatutan.

Dia berkata, kemudahan premis yang lebih teratur membolehkan mereka mengembangkan perniagaan selain menyediakan keselesaan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan di lokasi berkenaan.

“Kalau di tepi jalan dulu, pelanggan hanya beli dan terus balik. Bila ada gerai, pelanggan boleh duduk makan dan kami juga boleh menambah menu baharu.

“Tambahan lagi, lokasi premis sangat strategik kerana berdekatan pejabat kerajaan, sekolah, klinik dan boleh diakses pengguna Jalan Kuala Kangsar – Gerik.

“Dulu kami berniaga nasi kukus sahaja pada waktu siang, tetapi sekarang boleh beroperasi dari 10 pagi sehingga 2 pagi dengan menawarkan masakan panas ala Thai pada waktu malam,” katanya.

Katanya, perubahan itu turut memberi kesan besar terhadap jualan harian apabila jumlah jualan meningkat hampir empat kali ganda berbanding ketika awal perniagaan.

Hasil peningkatan perniagaan itu juga membolehkan pasangan berkenaan mengembangkan operasi apabila berjaya mendapatkan lot kedua selepas penyewa terdahulu mengosongkan premis bersebelahan.

Katanya, peluang yang diberikan PKNPk bukan sahaja membantu mengukuhkan perniagaan keluarga malah meningkatkan taraf hidup mereka.

“Bagi saya PKNPk memang banyak membantu peniaga kecil seperti kami. Sewanya murah dan lokasi yang disediakan sangat sesuai untuk kami berniaga.

“Kalau dibandingkan dengan dulu, memang banyak perubahan berlaku dalam kehidupan kami. Alhamdulillah, sekarang perniagaan lebih stabil dan dapat membantu menyara keluarga dengan lebih baik,” katanya.

PKNPk adalah agensi utama kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memajukan sosioekonomi dan merangsang pelaburan di negeri selaras pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Melalui pembangunan Pekan Kecil PKNPk, kawasan yang sebelum ini kurang berkembang berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baharu yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi, sosial dan komuniti secara menyeluruh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top