Juara Piala Dunia 2026 bawa pulang RM235 juta, lebih lumayan daripada edisi Qatar

Juara Piala Dunia 2026 bawa pulang RM235 juta, lebih lumayan daripada edisi Qatar

New York: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi mengumumkan struktur agihan dana ganjaran bagi kejohanan Piala Dunia 2026 yang menyaksikan lonjakan ketara bagi pasukan yang berjaya melangkah jauh ke peringkat kalah mati.

Secara keseluruhan, terdapat lapan kategori kelayakan yang bakal menentukan jumlah ‘durian runtuh’ yang bakal dibawa pulang oleh setiap pasukan yang bertanding di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico ketika ini.

Sebagai permulaan, semua 48 negara yang layak ke pusingan akhir secara automatik menerima AS$2.5 juta (RM11.75 juta) sebagai dana persediaan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.5 juta berbanding edisi 2022 di Qatar. Bagaimanapun, bagi pasukan yang tersingkir awal di peringkat kumpulan, tiada peningkatan hadiah ditawarkan.

Mereka sekadar membawa pulang AS$9 juta (RM42.3 juta) iaitu jumlah yang sama seperti edisi di Qatar dan hanya meningkat AS$1 juta berbanding edisi Russia 2018.

Bagi pusingan 32 terbaik yang baharu diperkenalkan, pasukan yang tersingkir di fasa ini termasuk gergasi Eropah seperti Jerman dan Belanda, serta pasukan penuh kejutan, Cape Verde masing-masing meraih AS$11 juta (RM51.7 juta).

Sementara itu, pasukan seperti Brazil dan Kanada yang terkandas di pusingan 16 terbaik boleh mengubat duka dengan habuan AS$13 juta (RM61.1 juta), meningkat AS$2 juta berbanding fasa yang sama empat tahun lalu.

Bagi pendatang baharu suku akhir seperti Norway, mereka dijamin membawa pulang sekurang-kurangnya AS$19 juta (RM89.3 juta).

Seterusnya, baki empat pasukan terbaik yang bersaing di peringkat separuh akhir bakal mengaut keuntungan lebih besar.

Pasukan yang memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga bakal menerima AS$29 juta (RM136.3 juta) manakala tempat keempat meraih AS$27 juta (RM126.9 juta).

Sagu hati buat naib juara dunia juga tidak kurang hebatnya apabila bakal membawa pulang AS$33 juta (RM155.1 juta) iaitu peningkatan sebanyak AS$3 juta berbanding edisi lalu.

Kemuncak ganjaran sudah pasti menanti sang juara dunia yang baharu, di mana mereka bakal dihujani dana tunai lumayan berjumlah AS$50 juta (RM235 juta).

Jumlah ini adalah AS$8 juta (RM37.6 juta) lebih tinggi berbanding apa yang dimenangi Argentina di Qatar dua tahun lalu.

Hadiah utama berprestij ini juga sekali gus memintas ganjaran AS$40 juta (RM188 juta) yang diterima Chelsea ketika bergelar juara Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA yang berwajah baharu, tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top