Paris: Juara Piala Kelab Dunia yang diperluaskan tahun ini di Amerika Syarikat akan menerima sehingga AS$125 juta (RM553.75 juta) dalam bentuk hadiah wang tunai, umum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), hari ini.
Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai AS$1 bilion (RM4.43 bilion) untuk acara yang berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai sudah diumumkan, tetapi Fifa kini memperincikan jumlah yang akan diterima 32 pasukan mengambil bahagian.
Setiap pasukan akan berkongsi dana AS$525 juta (RM2.325 bilion) untuk penyertaan, manakala tambahan AS$475 juta (RM2.104 bilion) akan diagihkan berdasarkan prestasi dalam kejohanan.
Dengan bonus tambahan, pasukan yang muncul juara selepas tujuh perlawanan boleh menerima sehingga RM553.75 juta.
Eropah akan menerima bahagian terbesar daripada hadiah wang tunai, dengan setiap kelab mereka memperoleh antara AS$12.81 juta (RM56.76 juta) hingga AS$38.19 juta (RM169.18 juta), bergantung kepada kriteria sukan dan komersial yang akan menentukan jumlah tepatnya.
Pasukan dari Amerika Selatan akan menerima bonus penyertaan AS$15.21 juta (RM67.38 juta) setiap satu, manakala pasukan dari Amerika Utara dan Tengah, Caribbean, Asia dan Afrika akan menerima AS$9.55 juta (RM42.31 juta).
Auckland City, wakil Oceania akan membawa pulang AS$3.58 juta (RM15.86 juta) sebagai ganjaran penyertaan.
“Model pengagihan ini mewakili hadiah wang tunai terbesar pernah diberikan kepada sebuah kejohanan yang merangkumi peringkat kumpulan dan peringkat kalah mati,” kata Presiden Fifa, Gianni Infantino dalam satu kenyataan akhbar.
“Sebagai tambahan kepada hadiah wang tunai yang diperuntukkan untuk kelab yang mengambil bahagian, satu program solidariti yang belum pernah berlaku sebelum ini akan dilaksanakan dengan tujuan mengagihkan semula tambahan AS$250 juta (RM.107 bilion) kepada bola sepak di seluruh dunia.”
Infantino berkata, semua hasil daripada kejohanan ini akan diagihkan semula kepada bola sepak kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd




