‘Jurassic Park’ Thailand bongkar sejarah dinosaur

‘Jurassic Park’ Thailand bongkar sejarah dinosaur

KHON KAEN – Timur laut Thailand kini muncul sebagai antara lokasi terpenting bagi penyelidikan dinosaur di Asia Tenggara selepas beberapa penemuan fosil baharu memberikan petunjuk mengenai evolusi haiwan prasejarah itu.

Rantau berkenaan mempunyai simpanan fosil dinosaur paling kaya di Thailand dan tahun ini sahaja, dua spesies baharu dikenal pasti iaitu Nagatitan chaiyaphumensis, dinosaur terbesar pernah ditemukan di Asia Tenggara dan Uragasaurus kalasinensis, spesies berleher panjang.

Penyelidik Universiti Mahasarakham yang mengetuai kajian dalam bidang itu berharap satu lagi penemuan akan membolehkan Thailand mengesahkan spesies dinosaur ke-16 dalam tempoh beberapa bulan.

Profesor paleontologi dari Universite du Quebec a Rimouski, Kanada, Richard Cloutier berkata, Thailand kini menjadi lokasi tumpuan bagi penyelidikan dan penemuan dinosaur di Asia Tenggara.

Walaupun China, Mongolia dan Rusia kekal sebagai kawasan utama pencarian fosil, pakar berkata, fosil di Thailand membantu melengkapkan jurang dalam rekod evolusi dinosaur.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Paleontologi Universiti Mahasarakham, Suravech Suteethorn berkata, dinosaur yang ditemukan di negara itu ibarat kepingan teka-teki yang hilang.

‘Jurassic Park’ Thailand bongkar sejarah dinosaur

Ahli paleontologi Varavudh Suteethorn (kanan) dan anaknya, Suravech Suteethorn, menggali fosil dinosaur di Taman Negara Phu Wiang, Khon Kaen. Foto: AFP

Menurutnya, fosil tersebut membantu saintis memahami hubungan evolusi ketika peralihan antara zaman Jurassic dan Cretaceous kira-kira 140 juta tahun lalu.

Banyak spesimen yang disahkan tahun ini sebenarnya telah digali lebih sedekad lalu tetapi memerlukan penyelidikan panjang sebelum dapat dikenal pasti sebagai spesies baharu.

Di Taman Negara Phu Wiang, Suravech bersama bapanya yang juga pakar paleontologi, Varuvudh Suteethorn kini sedang menggali bahagian leher sebuah fosil besar yang dipercayai berpotensi menjadi spesies dinosaur baharu Thailand.

Suravech enggan mendedahkan butiran penemuan itu tetapi berkata ia bakal ‘mengejutkan’orang ramai.

Sebelum ini, pasukan penyelidik mengumumkan penemuan Uragasaurus, dinosaur pemakan tumbuhan sepanjang sehingga 20 meter yang hidup kira-kira 150 juta tahun lalu.

Ia disusuli pengesahan Nagatitan, dinosaur pemakan tumbuhan seberat kira-kira 27 tan yang dipercayai hidup antara 100 hingga 120 juta tahun lalu.

Fosil gigi dinosaur dipamerkan di Taman Negara Phu Wiang, Khon Kaen, yang kaya dengan penemuan fosil dinosaur. Foto: AFP

Fosil gigi dinosaur dipamerkan di Taman Negara Phu Wiang, Khon Kaen, yang kaya dengan penemuan fosil dinosaur. Foto: AFP

Timur laut Thailand dianggap sesuai untuk pencarian fosil kerana keadaan lebih kering dan tumbuhan yang tidak terlalu tebal menyebabkan batuan mengandungi fosil lebih mudah terdedah.

Penemuan tersebut turut membantu merancakkan sektor pelancongan dinosaur di rantau yang sebelum ini lebih dikenali sebagai antara kawasan berpendapatan rendah di Thailand.

Muzium dinosaur di Khon Kaen dan Kalasin kini menjadi tarikan pelancong, dengan muzium di Kalasin menerima ratusan ribu pengunjung setiap tahun.

Namun, penyelidikan paleontologi di Thailand masih berdepan kekurangan dana dan jumlah penyelidik yang kecil.

Suravech yang merupakan peminat filem Jurassic Park turut berseloroh bahawa beliau masih menunggu seorang ‘jutawan’ seperti dalam filem itu tampil membiayai penyelidikan mereka.

“Masih banyak fosil tersembunyi di sini yang menunggu untuk ditemukan,” katanya. – AFP

Scroll to Top