am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Jurujual bahan binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh bekas kekasih dan seorang lelaki pada 15 April lalu.
Tertuduh, Vincent Lim Jia Leong, 31, membuat pengakuan berkenaan sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melanggar seorang wanita, Ang Shiew Chin, 41, dan lelaki, Tan Yee Lian, 44, menggunakan sebuah kenderaan..
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan di Lorong Perusahaan Maju 8, Autocity, Perai, 9.45 malam pada 15 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Parmjit Singh.
Dalam prosiding itu, Siti Nur Amalina menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Parmjit merayu anak guamnya diberikan jaminan minima sebanyak RM8,000 dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.
Media difahamkan seorang wanita dan lelaki cedera di kaki serta siku selepas dipercayai dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki selepas mengekori mereka sebelum bertindak melarikan diri.
Punca kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu suspek kerana wanita berkenaan sudah mempunyai teman lelaki baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




