Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau mahu dilantik sebagai Menteri Besar susulan tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun, semalam.
Menurut beliau, penentuan jawatan Menteri Besar bukan berada di tangan UMNO, sebaliknya terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah pun menjadi EXCO Kanan dan perbincangan kita bukan nak jadi Menteri Besar dan saya bukan nak jadi Menteri Besar.
“Sesiapa saja boleh menjadi Menteri Besar. Saya boleh, Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi) boleh, Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong) boleh.
“Jangan salah faham…,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mengadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memaklumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar.
“Buat masa ini, saya belum lagi dititah mengadap baginda dan bersedia pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Artikel lain: “Sekarang kita kerajaan, tak ada sebab nak tebuk atap” -Pengerusi BN Negeri Sembilan
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar satu sidang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan (DUN) khas diadakan dalam masa terdekat bagi menamatkan kemelut politik yang berlaku.

“Jika mereka (kerajaan negeri) bertahan sehingga enam bulan, kerajaan akan diurus dalam keadaan yang tidak stabil, sangat tidak pasti (uncertainty) dan pelbagai masalah akan timbul.
“Untuk kestabilan di negeri kerajaan. Saya, berpandangan, supaya sidang DUN khas mesti dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan.
“Ia untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku. Untuk kestabilan dan kepentingan kerajaan,”ujar beliau.
Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)




