Jurukamera kena kecam, papar foto budak menangis selepas Perancis kalah

Jurukamera kena kecam, papar foto budak menangis selepas Perancis kalah

Arlington: Amerika Syarikat: Tindakan jurukamera penyiaran rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaparkan tangisan seorang penyokong cilik Perancis ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Sepanyol mengundang kecaman daripada peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dalam perlawanan itu, Perancis yang berhasrat untuk melangkah ke pentas final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut menerima tamparan awal apabila ketinggalan pada minit ke-22.

Gol pertama skuad La Roja terhasil menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal selepas pertahanan Perancis, Lucas Digne, tidak sengaja mengasari Lamine Yamal di dalam kotak penalti.

Sejurus selepas gol terbabit dijaringkan, jurukamera perlawanan terus memfokuskan lensa kepada seorang kanak-kanak lelaki menyarung jersi Perancis yang sedang menangis teresak-esak di tempat duduk penonton.

Visual emosi cilik itu kemudiannya disiarkan secara langsung ke seluruh dunia menerusi liputan rasmi kejohanan.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan netizen dan peminat yang menyifatkan pemaparan reaksi kanak-kanak dalam keadaan emosi tertekan sedemikian sebagai tidak beretika.

“Jurukamera memang tidak berhati perut kerana menunjukkan budak kecil itu menangis selepas Sepanyol menjaringkan gol,” tulis seorang pengguna di media sosial.

Seorang lagi peminat turut meluahkan rasa tidak puas hati: “Merapat dan menyiarkan seorang kanak-kanak Perancis menangis di stadium berkemungkinan menjadi detik terburuk dalam hidupnya setakat ini.”

Meskipun mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada sesetengah penyokong di alam maya, harapan kanak-kanak itu untuk melihat pasukannya bangkit tidak kesampaian.

Sepanyol mengesahkan slot ke perlawanan akhir menerusi kemenangan 2-0 selepas Pedro Porro meledak gol kedua pada separuh masa kedua, sekali gus menyingkirkan Les Bleus daripada kejohanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top