Jurupandu selam Korea Selatan didakwa serang pemuzik Taiwan

Jurupandu selam Korea Selatan didakwa serang pemuzik Taiwan

Koror, Palau: Pihak berkuasa Palau menyiasat dakwaan serangan di dalam air oleh seorang jurupandu selam (divemaster) warga Korea Selatan terhadap pemuzik Taiwan, Devon Song dan jurupandu selamnya yang berasal dari Bangladesh, lapor South China Morning Post.

Song, anggota kumpulan muzik Nan Quan Mama menerusi hantaran di media sosial mendakwa beliau dan jurupandu selamnya, Sobuj Patwary diserang seorang jurupandu selam Korea Selatan yang dikenali sebagai ‘Romeo.’

Menurut Song, mereka sedang menyelam di Siaes Corner, lokasi menyelam popular di barat Koror apabila Romeo tiba-tiba menyerang mereka dari bawah pada kedalaman kira-kira 25 meter.

Romeo didakwa menumbuk topeng selam Song dan cuba menanggalkannya, namun Song berjaya mempertahankan diri.

Patwary kemudian campur tangan untuk menghentikan Romeo tetapi lelaki itu didakwa cuba menanggalkan topeng dan sirip penyelam Patwary serta menanggalkan keluar alat pengawal pernafasan dari belakang.

LJ, kakitangan warga China di pusat selam tempat Patwary bekerja berkata, Patwary ‘berkali-kali tertelan air’ ketika cuba mengambil semula alat pernafasan alat pernafasan kitar semula (rebreather) miliknya. Seorang lagi pelanggan kemudian mengiringinya kembali ke pantai.

Song menyifatkan insiden itu sebagai ‘percubaan membunuh’ dan memaklumkan Patwary hampir kehilangan nyawa.

Pemuzik itu turut memuat naik rakaman video kejadian berkenaan di media sosial.

Patwary kemudian mengesahkan dakwaan Song menerusi hantaran di media sosial sambil menegaskan jurupandu selam di Palau bertanggungjawab untuk ‘memastikan setiap penyelam kembali ke permukaan dengan selamat.’

Romeo yang mengendalikan sebuah lagi pusat selam di Palau bagaimanapun mendakwa kumpulan Song dan Patwary memasuki kawasan penyelaman pasukannya serta tidak mengendahkan isyarat supaya mereka beredar.

Beliau turut mendakwa Patwary menyerangnya terlebih dahulu dan tindakannya itu hanya untuk mempertahankan diri.

Song menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Romeo dengan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan’ selain menegaskan kumpulannya ‘langsung tidak melawan ketika di dalam air.’

Beliau turut mempersoalkan tindakan Romeo dengan berkata, walaupun seseorang menceroboh kawasan anda, perlukah anda menyerang mereka di dalam air?

LJ berkata, kumpulan Song dan Patwary berada sekurang-kurangnya 20 meter dari pasukan Romeo dan tidak memasuki kawasan mereka selain mendakwa kejadian itu bukan kali pertama Romeo bertindak sedemikian.

Pusat selam tempat Song dan Patwary kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis tempatan.

Pada 12 Oktober lalu, Biro Pelancongan Palau dan Kerajaan Negeri Koror mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan.

Kenyataan itu turut menyebut individu yang terbabit digantung daripada melakukan aktiviti menyelam dan menjalankan kegiatan berkaitan pelancongan sementara menunggu hasil siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top