Jururawat kurang di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor

Jururawat kurang di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Andaian pemohon akan ditempatkan di negeri kelahiran apabila diterima bekerja dalam sektor awam adalah antara punca berlaku kekosongan perjawatan, terutama bagi jururawat.

Rentetan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berdepan kesukaran mewujudkan keseimbangan antara jumlah kekosongan perjawatan dan lokasi penempatan yang tidak memenuhi citarasa pemohon.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata berdasarkan rekod, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah lokaliti penempatan popular dalam kalangan pemohon.

Bagaimanapun, beliau berkata, KKM berdepan kekurangan jururawat di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, sekali gus memberikan cabaran terutama bagi menampung keperluan di negeri berkenaan.

Selain itu, katanya, faktor perpindahan ke sektor swasta dan meletak jawatan dalam kalangan jururawat di bawah KKM turut mendorong peningkatan kekosongan perjawatan berkenaan.

“Berdasarkan rekod, hampir 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk keluar dalam tempoh lima tahun dengan 27.98 peratus akibat masalah peribadi dan ia adalah peratusan tertinggi.

“Ada juga (sebahagian jururawat di bawah KKM) memilih untuk keluar (berpindah ke sektor swasta) iaitu 18.22 peratus atau 390 orang daripada angka berkenaan,” katanya pada Sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai pengisian perjawatan di KKM, terutama jururawat di beberapa negeri.

Sementara itu, Lukanisman berkata, sejumlah kekosongan perjawatan bukan berlaku di fasiliti semasa, sebaliknya jumlah berkenaan diwujudkan bagi memenuhi keperluan fasiliti baharu.

Ini kerana, katanya, KKM akan memulakan eksesais untuk memohon perjawatan berkenaan apabila pembangunan mana-mana projek mencapai tahap 85 peratus siap.

“Selain itu, masalah di lapangan adalah kadang-kadang hospital berdepan masalah (projek) hospital sakit seperti di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Terdapat kekosongan tetapi fasiliti tidak tersedia walaupun kita menjanjikan fasiliti terbabit siap.

“Sama seperti fasiliti di Miri, Sarawak. Kita mempunyai angka yang sudah diluluskan, tetapi sehingga kini hospital tambahan terbabit belum beroperasi. Ini menyebabkan kita dilihat tak mengisi kekosongan berkenaan,” katanya.

Mengenai skim perubatan Madani, beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan dana sangat besar memandangkan keseluruhan peruntukan sudah digunakan sepenuhnya selang beberapa bulan ia mula beroperasi.

Ahli Parlimen Sibuti itu memaklumkan sejumlah RM100 juta digunakan bagi pelaksanaan skim berkenaan di 10 daerah, hanya pada April tahun lalu.

“Ada beberapa negeri seperti Selangor dan kini Sarawak yang memperkenalkan kad mesra atau kesihatan, khusus bagi warga emas. Kekuatan fiskal sesebuah negeri diperlukan untuk melaksanakan program sedemikian.

“Kerajaan Persekutuan ketika ini, belum mampu menyediakan skim berkenaan di negeri tertentu dan kita akan cuba (memperluaskan skim perubatan MADANI ke negeri lain).

“Saya yakin Kementerian Kewangan akan cuba menambah skim berkenaan untuk diperluas kepada lebih 10 daerah sedia ada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top