Jurutera wanita rugi RM102,100 terpedaya tawaran kerja tidak wujud

Jurutera wanita rugi RM102,100 terpedaya tawaran kerja tidak wujud

Dungun : Seorang jurutera wanita mengalami kerugian RM102,100 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud yang disertai pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, jurutera berusia 34 tahun itu dimasukkan di dalam kumpulan WhatsApp dikenali ‘feedback & rating (2026)’ selepas menekan pautan iklan di aplikasi Facebook.

Beliau berkata, mangsa diarahkan melakukan beberapa tugasan oleh ‘admin’ kumpulan WhatsApp itu untuk mendapatkan ganjaran dan hadiah lebih besar.

“Mangsa melakukan beberapa tugasan yang diberi dan seterusnya menerima pulangan sebanyak RM310 bagi tugasan yang dilakukan pada 10 dan 11 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita itu juga diarahkan membuat beberapa tugasan lain di dalam aplikasi Telegram serta diminta memasukkan wang bagi menyelesaikan tugasan itu.

Maizura berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 11 transaksi pemindahan wang ke dalam tujuh akaun berbeza berjumlah keseluruhan RM102,100.

“Jurutera itu yang menyedari ditipu sindiket berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun semalam,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top