Juruterbang Air India hadapi ujian makmal pengesahan pengambilan narkotik

NEW DELHI: Kementerian Penerbangan India pada Ahad berkata, juruterbang Air India yang pesawatnya mengalami penurunan mendadak akibat pergolakan udara sehingga menyebabkan 17 penumpang dan anak kapal cedera sedang menjalani ujian makmal pengesahan pengambilan narkotik.

Pesawat Airbus A320 yang membawa 137 penumpang dan lapan anak kapal itu mengalami penurunan kira-kira 91 meter pada 4 Ogos ketika dalam penerbangan dari Phuket, Thailand ke New Delhi, sebelum kembali stabil dan mendarat dengan selamat, kata Kementerian Penerbangan Awam India.

Lapan penumpang dan empat anggota kru kabin dimasukkan ke hospital selepas mendarat di ibu negara India itu dan keadaan mereka dilaporkan stabil. 

Kedua-dua juruterbang kemudian menjalani ujian saringan bahan psikoaktif standard, menurut kenyataan kementerian.

“Ujian saringan terhadap juruterbang yang mengetuai penerbangan menunjukkan keputusan yang memerlukan ujian pengesahan.

“Sampel berkenaan telah dihantar ke makmal yang ditetapkan untuk analisis pengesahan dan laporan akhir masih dinantikan,” ujarnya.

Kementerian itu berkata, penerbangan berkenaan diklasifikasikan sebagai “insiden serius, manakala Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) telah memulakan siasatan.

Kedua-dua juruterbang telah digugurkan daripada senarai penerbangan sementara menunggu hasil siasatan.

“Tindakan selanjutnya, jika perlu, akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan keputusan ujian pengesahan,” tambahnya.

Video selepas kejadian menunjukkan bagasi kabin bertaburan di dalam pesawat. Sebahagian daripada mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan pengusung.

Air India dalam kenyataan awal pada Ahad mengesahkan bahawa ujian saringan selepas penerbangan telah dijalankan terhadap juruterbang pesawat berkenaan.

Namun, berkata keputusan ujian itu belum dikongsi dengan syarikat. – AFP

Scroll to Top