TEL AVIV – Sebuah pesawat penumpang menuju Israel dilaporkan menjunam hampir 18,000 kaki selepas juruterbangnya ditikam beberapa kali oleh pembantu juruterbang dalam kejadian mencemaskan yang mencetuskan kebimbangan kemungkinan cubaan rampasan pesawat.
Menurut laporan Channel 12 Israel, pesawat Flydubai jenis Boeing 737 MAX 8 itu berlepas dari Dubai menuju Tel Aviv sebelum kekecohan tercetus di dalam kokpit kira-kira dua jam setengah selepas penerbangan bermula.
Pesawat berkenaan membawa 174 penumpang termasuk 27 kanak-kanak.
Pembantu juruterbang itu dilaporkan cuba mengambil alih kawalan pesawat sebelum menyerang juruterbang beberapa kali.
“Kami fikir sama ada akan terhempas atau dibunuh. Ia seperti serangan pengganas di udara,” kata seorang penumpang kepada I24 News.
Data FlightAware menunjukkan pesawat berkenaan turun mendadak daripada kira-kira 33,000 kaki kepada 15,400 kaki dalam tempoh 12 minit.
Susulan insiden itu, jet pejuang Israel dilaporkan dikerahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala kru penerbangan dan penumpang bertindak membantu mengawal keadaan.
Pesawat berkenaan kemudian melakukan pendaratan kecemasan di Tabuk, Arab Saudi dengan selamat.
Flydubai mengesahkan berlaku insiden dalam penerbangan terbabit dan pesawat selamat mendarat di Tabuk.
“Pasukan kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan. Maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila butiran tambahan disahkan,” menurut syarikat penerbangan itu.
Laporan media turut memaparkan gambar beberapa penumpang dengan kesan darah selepas insiden berkenaan.
Pihak berkuasa Israel dilaporkan membuka siasatan berkaitan kemungkinan unsur keganasan. Seorang pegawai Israel yang dipetik Channel 12 mendakwa pembantu juruterbang berkenaan cuba melakukan serangan menyerupai peristiwa 11 September 2001.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata keadaan sudah terkawal dan usaha sedang dilakukan untuk mengatur penerbangan alternatif bagi penumpang terbabit.
Flydubai merupakan syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Dubai. Penerbangan itu berlepas sebelum jam 7 pagi waktu tempatan pada Rabu sebelum terpaksa dilencongkan ke Arab Saudi. – Agensi



