BANGKOK – Bangkok beransur pulih daripada banjir besar yang melanda ibu negara Thailand selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari, namun beberapa kawasan masih ditenggelami air dan operasi penerbangan terus berdepan gangguan.
Sekurang-kurangnya empat orang maut di Bangkok, manakala jumlah korban akibat banjir di seluruh Thailand sejak pertengahan September meningkat kepada 23 orang.
Kira-kira 700,000 penduduk atau 329,000 isi rumah di Bangkok terjejas, dengan Lat Krabang, Bang Kapi, Khan Na Yao, Sai Mai, Suan Luang, Saphan Sung dan Lak Si antara daerah paling teruk dilanda banjir.
Bangkok dilanda kira-kira 320 milimeter hujan dalam tempoh tiga hari, hampir menyamai jumlah hujan yang biasanya diterima bandar raya itu sepanjang September.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, keadaan di beberapa kawasan termasuk Chin Khet, Ngam Wong Wan, Lat Phrao, Min Buri dan Khlong Sam Wa semakin pulih, manakala sebahagian Jalan Vibhavadi Rangsit sudah boleh digunakan semula.

Perniagaan tetap berlangsung di Bangkok ketika ini. Foto: AFP
Bagaimanapun, Lat Krabang, Rom Klao, Khlong Chan, Sai Mai dan Bueng Kum serta beberapa kawasan berhampiran Terusan Prawet Burirom masih memerlukan pemantauan rapi.
Lebih 40 titik kritikal di terusan utama masih diberi perhatian, termasuk Prawet Burirom, bahagian hulu Saen Saeb dan Lat Phrao.
Pihak berkuasa kini mempercepatkan pelepasan air menerusi tiga terowong saliran utama dengan kapasiti keseluruhan sekitar 150 meter padu sesaat, selain menggunakan bot untuk membantu menolak aliran air.
Chadchart menyasarkan kira-kira 90 peratus jalan utama dapat dikeringkan dalam tempoh dua hari, namun kawasan perumahan yang bertindak seperti lembangan mungkin mengambil masa sehingga seminggu untuk pulih sepenuhnya.

Seorang wanita membuat bayaran ketika membeli barangan di pasar makanan segar yang dilanda banjir di daerah Bang Kapi. Foto: AFP
Pada masa sama, Bangkok masih berwaspada terhadap aliran air dari kawasan hulu dan fenomena air pasang yang berpotensi meningkatkan paras Sungai Chao Phraya.
Hampir 7,000 mangsa masih berlindung di lebih 230 pusat perlindungan di seluruh Bangkok, manakala operasi pembersihan dipergiat di kawasan yang airnya sudah surut.
Banjir turut mencetuskan kekacauan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi apabila kekurangan kakitangan menjejaskan operasi darat.
Ketua Pegawai Eksekutif Thai Airways, Chai Eamsiri berkata, hampir semua penerbangan syarikat itu mengalami kelewatan dalam tempoh dua hari dengan kurang tiga peratus beroperasi mengikut jadual.
Syarikat penerbangan itu merancang mengurangkan kira-kira 30 peratus penerbangan dari Bangkok, bersamaan sekitar 30 penerbangan untuk beberapa hari bagi mengurangkan kesesakan.
Lebih 5,000 bagasi penumpang Thai Airways turut terkandas di Suvarnabhumi dan syarikat berjanji menyelesaikan penghantarannya dalam tempoh 72 jam.

Kanak-kanak bermain di dalam air banjir di daerah Bang Kapi, Bangkok. Foto: AFP
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul turut memohon maaf kepada mangsa banjir atas kesulitan yang mereka hadapi dan berjanji kerajaan akan mempercepatkan usaha mengalirkan keluar air serta menyalurkan bantuan.
Beliau berkata, kerajaan akan menerima kritikan orang ramai, mendengar masalah penduduk dan memperbaiki kelemahan dalam pengurusan bencana, selain memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Secara keseluruhan, banjir dilaporkan melanda puluhan wilayah Thailand dan kerugian di sekitar dua dozen wilayah dianggarkan mencecah AS$367 juta, ketika operasi pemulihan dan bantuan diteruskan.



