K8 Kargo: Ahli perniagaan mahu MOF, JKDM, Petronas beri penjelasan bersama

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan menggesa Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Petronas memberikan penjelasan bersama mengenai aspek kawal selia dan percukaian kargo petroleum yang dikendalikan menerusi prosedur pengikraran K8.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, penjelasan itu penting susulan kenyataan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menjelaskan sama ada kargo petroleum yang dicampurkan (commingled) dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, dibenarkan, termasuk dokumen yang diperlukan dan kaedah percukaian terhadap kargo berkenaan.

Gesaan itu susulan surat rasmi bertarikh 20 Ogos daripada Pengarah Bahagian Rekod dan Maklumat SPRM, Zuhairie Abu Bakar, yang menyatakan suruhanjaya itu telah meneliti kebimbangan berhubung prosedur pengikraran K8 menerusi semakan silang dengan JKDM, MOF dan Petronas.

Jeyenderan berkata, surat berkenaan menyatakan semakan itu tidak menemukan asas bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan tiada ketirisan hasil kerajaan dikenal pasti setakat ini.

“Susulan penjelasan SPRM itu, perkara ini kini memerlukan penjelasan yang jelas daripada pihak berkuasa berkaitan kawal selia dan percukaian.

“Industri perlu mengetahui sama ada amalan itu dibenarkan, apakah dokumen yang perlu mengiringi kargo dan bagaimana layanan cukai ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

K8 ialah pengikraran kastam yang digunakan bagi barangan, termasuk kargo minyak, yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan transshipment dan tidak bertujuan untuk dijual atau digunakan dalam negara.

Jeyenderan berkata, penjelasan itu penting bagi menghapuskan ketidakpastian dalam kalangan pemain industri serta memastikan pengendalian kargo petroleum menerusi operasi transshipment mematuhi keperluan kawal selia, kastam dan percukaian sedia ada.

Katanya, kebimbangan sebelum ini timbul berhubung dakwaan pencampuran kargo petroleum berbeza dalam tangki darat selepas proses pemunggahan dari kapal.

“Keadaan itu boleh menimbulkan persoalan berkaitan pengenalpastian kargo, dokumentasi, penilaian dan taksiran cukai sekiranya tidak dikawal selia dengan sewajarnya.

“Penemuan SPRM menjawab persoalan sama ada terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM. Bagaimanapun, masih terdapat keperluan untuk pihak berkuasa berkaitan menjelaskan kedudukan kawal selia dan percukaian dengan lebih jelas,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementeriannya akan mendapatkan penjelasan daripada MOF berhubung kebimbangan mengenai layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan.

Loke berkata kementeriannya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang cukai baharu terhadap kargo berkenaan, sambil menambah perkara itu berada di bawah bidang kuasa JKDM dan MOF.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau akan membangkitkan di Parlimen kebimbangan berhubung ketidakpastian percukaian kargo minyak yang dicampurkan dan disimpan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Puah, yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Ekonomi dan Kewangan, berkata beliau akan menggesa jawatankuasa itu memanggil pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.-UTUSAN

Scroll to Top