Kadar inflasi terus meningkat, tertinggi sejak 2018

Kadar inflasi terus meningkat, tertinggi sejak 2018

zahrin@bh.com.my

PUTRAJAYA: Kadar inflasi di Malaysia melonjak kepada 4.7 peratus pada April 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menjadikannya peningkatan tertinggi yang dicatatkan sejak 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan inflasi, yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka berterusan sehingga suku pertama 2022.

Beliau berkata, peningkatan IHP itu didorong oleh kenaikan indeks pengangkutan (27 peratus) yang disebabkan kesan asas rendah pada tahun sebelumnya.

“Purata harga RON95 menunjukkan peningkatan pada April 2021 iaitu RM2.05 seliter berbanding RM1.27 pada April 2020, RON97 pula meningkat kepada RM2.55 seliter berbanding RM1.57 manakala diesel naik kepada RM2.15 seliter daripada RM1.49, menyumbang kepada perubahan indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

“Indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain juga meningkat 3.1 peratus pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Ini disebabkan oleh penamatan diskaun elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Indeks makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan 1.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ia disebabkan oleh kekurangan bekalan, permintaan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, indeks teras meliputi barangan tidak termasuk barangan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal juga meningkat 0.7 peratus pada April.

Beliau berkata, IHP tanpa bahan api meningkat 1.7 peratus pada April 2021 kepada 113.8 berbanding 111.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP tanpa bahan api, katanya, meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel.

Sementara itu, beliau menjelaskan, bagi perbandingan bulanan IHP turut meningkat 0.2 peratus berbanding Mac 2021.

“Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 366 item menunjukkan peningkatan pada April 2021. Hanya 116 item mencatatkan penurunan manakala 70 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi itu mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 230 item, 49

item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top