bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Bilangan 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 adalah sangat kecil berbanding 438,000 atau 99.9 peratus yang tidak dijangkiti selepas menerima dua dos vaksin.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata jumlah itu juga menunjukkan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila berlaku penurunan 10 kali ganda berbanding purata jangkitan 436 kes sebulan sebelum divaksin ketika gelombang pertama COVID-19 melanda negara Mac tahun lalu.
“Sebanyak 99.9 peratus (petugas kesihatan) menerima dua dos vaksin tidak dijangkiti COVID-19 walaupun mereka adalah barisan hadapan yang setiap hari berurusan dengan pesakit wabak itu.
“Mereka lebih terdedah kepada risiko jangkitan kerana kita maklum kes positif tinggi iaitu mencecah lebih 2,000 kes positif sehari berbanding hanya puluhan dan ratusan kes positif pada tahun lalu.
“Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 didapati tidak menunjukkan gejala teruk dan ia selari dengan perkembangan di negara lebih awal melaksanakan program vaksinasi iaitu penurunan yang signifikan dalam kes COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Amzad berkata, berdasarkan kenyataan Dr Noor Hisham pada Februari lalu, hampir 4,800 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk barisan hadapan yang lain walaupun kadar jangkitan ketika itu tidak tinggi berbanding hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



