Kaji semula pemerintahan dua penggal – Saiful Nizam

Kaji semula pemerintahan dua penggal – Saiful Nizam

ENDAU: Calon Pakatan Harapan N32 DUN Endau, Saiful Nizam Bin Samat, berharap pengundi dapat mengkaji semula pemerintahan pembangkang di kawasan itu sama ada di peringkat negeri atau parlimen selama dua penggal berturut-turut.

Saiful berkata, ini kerana Endau sering ketinggalan dalam capaian terus kepada peruntukan dan pembangunan yang mana dinikmati  kawasan yang diwakili kerajaan memerintah.

Menurutnya, corak ini menimbulkan persoalan tentang kesetiaan jangka panjang  rakyat di kawasan itu, berbanding kepentingan politik jangka pendek.

“Ini bukan soal parti. Ini soal siapa boleh duduk semeja dengan kerajaan dan bersuara untuk Endau bila keputusan dibuat.

“Selama tiga penggal, suara itu tiada. Rakyat Endau berhak tanya, berapa lama lagi kita nak tunggu?” Katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau dalam masa yang sama  mempersoalkan kesetiaan politik yang berubah-ubah dan kesannya terhadap keyakinan rakyat.

“Bila wakil sendiri tukar parti dua kali dalam dua penggal, ikut keselesaan masing-masing, persoalan paling asas patut ditanya, adakah kesetiaan itu kepada rakyat Endau, atau kerusi yang diduduki?

“Persoalan ini harus diajukan kepada rakyat Endau. Ada wakil yang komitmennya jelas dan konsisten, bukan ikut arus,” ujarnya.

Dalam pada itu Saiful Nizam menegaskan bahawa beliau bertanding untuk memastikan Endau, buat kali pertama dalam tiga penggal, mempunyai wakil yang sehaluan dengan kerajaan yang memerintah.

“Sekali gus membolehkan isu rakyat seperti capaian internet, infrastruktur dan peluang ekonomi diselesaikan dengan lebih pantas,” kongsinya. – UTUSAN

Scroll to Top