KUANTAN : Peringkat akhir atau Zon Perdana Liga Bola Jaring Pahang 1st yang akan berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, bermula Jumaat ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 3,000 peminat bola jaring dari seluruh Pahang.
Sebanyak 12 pasukan terbaik akan berentap pada saingan akhir selepas melepasi pusingan kelayakan zon.
Kejohanan sulung itu dilihat menjadi platform memperkasa pembangunan sukan massa, sukan kompetitif dan sukan komuniti yang lebih inklusif di Pahang.
Terdahulu, saingan kelayakan berlangsung di tiga lokasi iaitu Zon Tengah di Arena YAB Tengku Muda Pahang (6 hingga 7 Jun), Zon Timur di Kompleks Komuniti Pekan (13 hingga 14 Jun) dan Zon Barat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub (20 hingga 21 Jun).

Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang merangkap Penasihat Program, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata penganjuran liga tersebut bertujuan memperkukuh pembangunan sukan bola jaring di negeri ini selain memperluaskan penyertaan wanita dan remaja perempuan dalam aktiviti sukan yang tersusun.
“Liga Bola Jaring Pahang 1st diwujudkan sebagai platform pembangunan sukan massa, sukan kompetitif dan sukan komuniti yang inklusif serta menyeluruh. Penganjuran berskala besar ini membuka ruang kepada wanita dan remaja perempuan untuk aktif dalam sukan yang berstruktur, sekali gus menyokong agenda pembangunan wanita dari aspek kesihatan, kepimpinan, keyakinan diri dan keterlibatan sosial,” katanya.
Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan memandangkan ia merupakan penganjuran kali pertama.

“Penyertaan bukan sahaja melibatkan atlet, pelajar sekolah, pendidik, jurulatih dan pengadil, malah turut disertai komuniti setempat yang bersama-sama memeriahkan program ini,” jelasnya.
Untuk peringkat akhir Liga Bola Jaring Pahang 1st, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikuti naib juara RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.




