Tiga inisiatif MCMC terpilih sebagai 'Champion Project' pada Anugerah WSIS Prizes 2026

Tiga inisiatif MCMC terpilih sebagai 'Champion Project' pada Anugerah WSIS Prizes 2026

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia menerima pengiktirafan global di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 apabila tiga inisiatif diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinamakan sebagai ‘Champion Project’.

MCMC dalam kenyataan pada 1 Julai memaklumkan, pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan Malaysia yang semakin menyerlah dalam memacu pembangunan digital yang inklusif, dipercayai dan berteraskan rakyat di peringkat serantau serta global.

“Pencapaian itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani melalui pelaksanaan inisiatif yang membangunkan bakat digital, memperkukuh tadbir urus yang baik serta memupuk kepercayaan awam terhadap ekosistem digital negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, WSIS Prizes dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai sebahagian daripada proses WSIS yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan adalah antara pengiktirafan paling berprestij di dunia.

Difahamkan, bagi edisi 2026, pertandingan itu menerima 1,595 penyertaan daripada 122 negara dan lebih 2.2 juta undian, sekali gus mencerminkan tahap daya saing pengiktirafan berkenaan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan, ‘Champion Project’ diberikan kepada lima inisiatif terbaik bagi setiap kategori Garis Tindakan WSIS melalui penilaian dan undian awam global dengan satu pemenang utama akan diumumkan di majlis di Geneva, Switzerland pada 9 Julai 2026 nanti.

Katanya, tiga inisiatif MCMC yang menerima pengiktirafan berkenaan adalah ‘ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform’, ‘Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030)’ dan portal Sebenarnya.my.

“Inisiatif ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform dibangunkan melalui rundingan bersama negara anggota ASEAN, industri dan pakar serantau, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam ekonomi 5G ASEAN.

“Rangka kerja itu mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi serta 12 jurang kemahiran keutamaan dalam ekosistem 5G bagi menyokong mobiliti tenaga kerja, pembangunan industri dan pelaburan masa hadapan di seluruh ASEAN,” katanya.

Katanya, pengiktirafan terhadap ‘Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030’ (FYP2030) pula, mengiktiraf usaha Malaysia dalam menyediakan ekosistem komunikasi dan multimedia negara yang bersedia menghadapi generasi teknologi digital seterusnya.

Mengulas lanjut, portal Sebenarnya.my turut diiktiraf atas peranannya dalam membanteras penyebaran maklumat palsu serta memperluas akses kepada maklumat sahih dan rasmi di Malaysia.

“Pencapaian ini menandakan empat tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di pentas WSIS, termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II pada 2025, Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan pada 2024 serta Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada 2023,” katanya.

Susulan itu, katanya, MCMC akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dasar dan piawaian antarabangsa melalui pembabitan strategik dalam ITU, ASEAN serta pelbagai platform digital global yang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top