Kajian pampasan pesawah dijangka selesai November

Kajian pampasan pesawah dijangka selesai November

KOTA BHARU – Kerajaan dijangka memperoleh keputusan kajian berhubung tuntutan pampasan pesawah yang didakwa mengalami kerugian akibat kelewatan bekalan baja pada hujung November ini sebelum cadangan berkaitan dibawa kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, kajian itu masih dijalankan berdasarkan data sebenar di lapangan bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berasaskan bukti, bukan andaian.

Menurutnya, setakat ini perbandingan awal hasil pemotongan padi bagi musim pertama 2026 berbanding musim sama tahun lalu menunjukkan peningkatan secara purata.

Bagaimanapun beliau menegaskan, dapatan itu belum muktamad kerana musim menuai masih berlangsung termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Setakat ini berdasarkan kajian kita belum nampak berlaku pengurangan hasil secara purata. Namun selepas semua data diperoleh, kita akan meneliti secara terperinci kawasan mana yang terjejas sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

“Insya-ALLAH hujung November ini kajian akan selesai,” katanya semasa sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd Mukim Tasek Berangan di sini pada Rabu.

Luqman (kiri) menunjukkan alat yang digunakan untuk menguji tahap kelembapan padi semasa mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd, Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu.

Luqman (kiri) menunjukkan alat yang digunakan untuk menguji tahap kelembapan padi semasa mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd, Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu.

Menurut Luqman, sekiranya kerugian pesawah dapat dibuktikan, kerajaan akan meneliti kaedah pampasan bersesuaian termasuk mengenal pasti penerima layak, jumlah kerugian serta kadar bayaran yang wajar.

Ujarnya, hasil kajian itu perlu dibentangkan kepada pihak atasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan selain memerlukan proses mendapatkan peruntukan.

“Setiap peruntukan disediakan kerajaan adalah duit rakyat. Sebab itu kita perlu pastikan siapa patut dibayar, berapa jumlahnya dan berdasarkan fakta apa keputusan itu dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Luqman memberitahu pesawah yang memerlukan modal untuk memulakan penanaman padi boleh memanfaatkan skim Agro Padi-i Salam yang ditawarkan Agrobank.

Jelas beliau, sebanyak RM70 juta pinjaman sudah disalurkan menerusi skim itu pada tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 7,500 pesawah.

Katanya lagi, kemudahan tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa cagaran, dengan pembayaran dibuat dalam tempoh enam bulan selepas tuaian.

Menurutnya, kemudahan itu boleh menjadi alternatif kepada pesawah yang terpaksa mendapatkan pinjaman daripada pihak ketiga sekiranya berdepan syarat pembayaran atau kadar keuntungan membebankan.

Pemotongan padi

Menyentuh dakwaan pesawah dianiaya melalui pemotongan padi sehingga 50 hingga 60 peratus, ujar beliau, penilaian kualiti padi perlu difahami berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian penggredan ditetapkan.

Katanya, penggredan dilaksanakan oleh pembeli padi atau kilang padi komersial berlesen berpandukan Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi MS 54:2017.

Luqman (kiri) melihat pekerja membuat pemeriksaan terhadap padi sebelum proses pengasingan dilakukan semasa mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd, Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu.

Luqman (kiri) melihat pekerja membuat pemeriksaan terhadap padi sebelum proses pengasingan dilakukan semasa mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd, Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu.

Beliau menjelaskan, beberapa faktor mempengaruhi kadar pemotongan, termasuk kandungan air tinggi, padi rosak, padi muda atau tidak matang serta kehadiran bendasing seperti daun, tangkai dan serangga.

Menurutnya, padi terlalu basah memerlukan proses pengeringan manakala padi rosak dan tidak matang pula mempunyai kualiti berbeza berbanding padi sempurna.

“Untuk menyatakan pesawah teraniaya tanpa melihat faktor yang menentukan harga sebenar padi, saya rasa itu agak ekstrem.

“Kita menggalakkan perbincangan antara pesawah dengan pembeli atau pengilang. Jika ada aduan, kita akan turun padang untuk menyiasat,” katanya.

Beliau memberitahu, perbezaan kadar pemotongan antara negeri, kawasan dan kilang juga boleh berlaku berikutan variasi kualiti padi yang dihantar.

Tambahnya, kadar pemotongan lazimnya lebih tinggi pada awal musim menuai apabila sebahagian padi belum cukup matang, selain dipengaruhi keadaan cuaca yang meningkatkan kandungan air.

Justeru, kerajaan belum bercadang menetapkan kadar pemotongan seragam misalnya 20 peratus bagi semua kawasan.

Jelas beliau, penetapan kadar sedemikian dikhuatiri tidak adil kepada pesawah berjaya hasilkan padi berkualiti tinggi dengan kadar pemotongan lebih rendah.

Beliau memberi contoh data di Kuala Selangor yang menunjukkan kadar pemotongan sekitar 18 peratus, sekali gus menggambarkan kepentingan penilaian berdasarkan keadaan sebenar padi.

Sehubungan itu katanya, pesawah digalakkan hadir sendiri ketika proses penggredan bagi memahami kaedah penilaian serta menyatakan ketidakpuasan hati sekiranya tidak bersetuju keputusan pembeli.

Dalam isu berasingan, beliau berkata, harga benih padi bersubsidi ditetapkan pada RM52 sekampit 20 kilogram di peringkat borong dan RM56 di peringkat runcit.

Katanya, tanpa subsidi, harga benih padi tersebut sepatutnya RM76.60 bagi setiap 20 kilogram.

Beliau meminta pesawah membuat aduan sekiranya dikenakan harga melebihi kadar kawalan di premis berlesen, supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil.

Jelasnya, kerajaan turut menyediakan saluran aduan melalui e-mel dan WhatsApp bagi membolehkan dakwaan penyelewengan disiasat.

Sementara itu Luqman memberitahu, kerajaan sudah mengemukakan cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan daripada RM2.60 sekilogram, namun belum membuat keputusan untuk melaksanakannya.

Katanya, keadaan itu berlaku ketika harga lantai padi meningkat daripada RM1,300 kepada RM1,500 satu tan metrik, sedangkan harga siling beras putih tempatan masih kekal.

Bagaimanapun ujar beliau, sebarang kenaikan harga siling perlu mengambil kira kos sara hidup dan kesan terhadap inflasi.

“Mengenai tuntutan menghapuskan hutang pesawah, pihaknya belum menerima cadangan rasmi atau data komprehensif berhubung jumlah hutang, pihak pemberi pinjaman dan pesawah yang terlibat,” katanya.

Ujar beliau lagi, maklumat lengkap diperlukan sebelum cadangan dipertimbang kerajaan.

Scroll to Top