Kaka Azraff pernah jumpa pakar terapi ketika kemelut rumah tangga

Kaka Azraff pernah jumpa pakar terapi ketika kemelut rumah tangga

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Kaka Azraff mendedahkan pernah mendapatkan bantuan pakar terapi ketika berdepan kemelut rumah tangganya, sebelum ini.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 37, berkata, keputusan itu dibuat atas dorongan dirinya sendiri ketika melalui detik sukar dalam kehidupannya itu.

Kata penyanyi lagu Gila dan Hilang itu, selepas menghadiri sesi terapi, fikirannya menjadi lebih terbuka dalam memahami masalah yang selama ini menyelubungi dirinya.

“Saya pergi berjumpa pakar terapi pada Ramadan tahun lalu. Ahli keluarga saya juga tidak mengetahui mengenai perkara itu dan saya hanya beritahu kawan baik saya, pengacara Shalma Ainaa.

“Saya pergi sesi terapi itu sebanyak tiga kali kerana saya rasa banyak menyalahkan diri sendiri seperti merasakan diri saya seorang wanita yang kurang bersyukur sebab itu yang ‘disuapkan’ (disogokkan) kepada saya,” katanya.

Kaka berkata demikian ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection bersempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di sini, petang semalam.

Mengulas lanjut, Kaka berkata, sebelum ini dia terlalu mengutamakan anak-anaknya sehingga dirinya sendiri terabai kerana sering diletakkan di tempat terakhir.

Katanya, dia mula menyedari cara itu tidak sihat dan mula memahami pentingnya menjaga diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengutamakan orang lain, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu.

“Bila sudah berjumpa pakar terapi itu, dia menasihatkan saya untuk ubah ‘lifestyle’ (gaya hidup), kena sihat dan dapatkan tidur yang cukup.

“Dulu, ketika saya berada di fasa sedih itu, saya hanya berfikir tentang anak dan tidak fikir diri sendiri.

“Saya sedar, perkara itu tidak sihat dan sebenarnya kita kena sayang diri kita. Itu yang saya belajar dari terapi berkenaan,” katanya.

Tambah Kaka, dia menemukan ketenangan menerusi bidang nyanyian dan menjadi salah satu cara yang membantunya keluar daripada fasa kesedihan itu.

“Saya suka menyanyi sebab itulah tempat untuk saya menyalurkan (meluahkan) apa yang saya rasa selain ketika saya bersendirian.

“Bila saya menyanyi, saya rasa macam keluar sekejap daripada zon kemurungan (kesedihan) itu,” katanya.

Terdahulu, Kaka dan suaminya, Adam Azriff sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Jun lalu.

Untuk rekod, Kaka pernah bercerai pada Oktober 2024 tetapi kembali rujuk pada awal 2025 semasa tempoh idah.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 7; Aryan, 5 dan Atta Adam, 2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top