mukhriz.husin@bh.com
Bandar Seri Begawan: Gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri yang dikurniakan kepada isteri Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengiran Raabi’atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah, ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku Grand Chamberlain, Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, memaklumkan perkara berkenaan menerusi pengumuman menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Menurut laporan media RTB News, penarikan balik gelaran itu dibuat berikutan kelakuan Pengiran Raabi’atul Adawiyyah yang disifatkan tidak melayakkan beliau sebagai pasangan Kerabat Diraja.
Kelakuan berkenaan juga didapati mencemarkan nama baik serta menunjukkan sikap tidak menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




