Kaki kanan Mas Siti Rosnani terpaksa dipotong

Kaki kanan Mas Siti Rosnani terpaksa dipotong

am@hmetro.com.my

Kota Bharu : Kanak-kanak perempuan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam sudah menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelak komplikasi serius.

Bapa saudaranya, Nadzri Abdullah, 51, berkata, anak saudaranya, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi pemantauan lanjut.

“Kaki kanan anak saudara saya terpaksa dipotong selepas berlaku pembekuan darah selain tisu dan isi daging pada bahagian kaki berkenaan sudah mati, selain mengelakkan komplikasi lebih serius terhadap keadaan Mas Siti Rosnani,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, seorang lagi anak saudaranya, Muhammad Muskir Rosli, 14, dijadual menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, hari ini.

“Muhammad Muskir mengalami kecederaan parah apabila tulang paha kanan hancur dan perlu dimasukkan besi pada bahagian kaki berkenaan.

“Dua lagi cucu saudara saya, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di HSIP, Kuala Krai,” katanya.

Nadzri berkata, dia berharap orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih mengenai keadaan anak saudara dan cucu saudaranya yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Saya berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan mereka,” katanya.

Media semalam melaporkan, empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda Jazz dipandu guru wanita berusia 39 tahun itu dari arah Machang menghala ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki kesemua mangsa dari arah bertentangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top