NO BYLINE
Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Sathiya, 61, sudah menjalani pembedahan pemotongan kaki kirinya, baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Facebook sebuah portal berita memaparkan foto Sathiya duduk di katil hospital dengan kaki kirinya sudah dipotong ke paras lutut.
Dalam temubual bersama Harian Metro pada 25 Ogos lalu, Sathiya memaklumkan kaki kirinya mungkin akan dipotong sekiranya kuman makin merebak.
Bagaimanapun pada 1 September lalu, Sathiya memaklumkan kakinya tidak jadi dipotong.
Katanya, doktor hanya memotong satu jari sahaja iaitu ibu jari kiri pada 31 Julai lalu, manakala dua lagi yang pada awalnya dijangka dipotong, berjaya diselamatkan.
Dalam pada itu, hantaran di Facebook itu mengundang reaksi netizen dan ramai mendoakan agar pelakon yang popular dengan watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu segera sembuh serta terus kuat berdepan ujian getir itu.
“Selama berdekad-dekad, dia menghadirkan keceriaan, tawa dan senyuman kepada jutaan rakyat Malaysia menerusi persembahan yang tidak lapuk ditelan zaman.
“Seorang insan yang begitu banyak menabur kebahagiaan kepada masyarakat wajar diberi penghargaan, sokongan dan perhatian pada saat yang sukar ini,” tulis netizen.
Hantaran sama turut berharap agar kerajaan Malaysia serta pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan dan sokongan sewajarnya sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar Sathia kepada industri hiburan dan masyarakat.
“Teruslah tabah, Sathiya, seluruh negara sedang mendoakan kesihatan dan pemulihan anda,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



