am@hmetro.com.my
Serdang : “Jangan pernah berputus asa, jangan anggap diri kita terlalu berbeza kerana ia hanya akan menyebabkan rasa takut,” kata graduan Ijazah Sarjana Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Sains Pertanian, Mohammad Izzamuddin Azuddin, 24.
Mohammad Izzamuddin yang juga orang kurang upaya (OKU) akibat kehilangan kaki selepas kemalangan berkata, kekurangan fizikal yang memaksanya memakai kaki palsu tidak mematahkan semangat untuk mengejar impian menjadi seorang pendidik.
“Sebenarnya, semua manusia lebih kurang sama saja. Walaupun ada masa kita rasa kurang yakin, puncanya cara kita melihat diri sendiri.
“Penggunaan kaki palsu banyak membantu saya sepanjang pengajian… Alhamdulillah, saya banyak mendapat bantuan daripada rakan-rakan dan pensyarah terutama ketika praktikal.
“Saya juga tidak dibenarkan untuk melakukan sesetengah kerja yang terlampau berat,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-48 di sini, hari ini.
Mohammad Izzamuddin yang berminat menjadi guru sejak di bangku sekolah berkata, walaupun tidak dibenarkan melakukan kerja berat, dia tidak lepas tangan.
Sebaliknya, katanya, dia melakukan tugasan lain seiring kemampuan termasuk membuat laporan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




