'Kalau ada dua tempat Timbalan Presiden PKR, dua-dua saya sokong' – Anwar

'Kalau ada dua tempat Timbalan Presiden PKR, dua-dua saya sokong' – Anwar

hifzuddin@bh.com.my

Langkawi: Ahli dan penyokong PKR diingatkan agar tidak memberi komen keterlaluan sehingga boleh menyebabkan perpecahan kepada calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, semua pihak harus sedar bahawa calon terutamanya yang bertanding jawatan tertinggi PKR adalah tokoh yang banyak berjasa dan berkorban untuk parti itu sejak sekian lama.

Jelasnya, beliau memberi sokongan kepada semua calon yang bertanding kerana semua mereka didapati layak, namun jawatan yang diperuntukkan adalah terhad, menyebabkan ahli perlu memilih.

“Persaingan di peringkat Pusat, banyak orang susah hati… saya tak sangat susah hati kerana yang bersaing Timbalan dan Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita itu di kalangan sahabat lama yang setia.

“Saya tengok senarai calon Naib Presiden misalnya, ramai yang cukup layak. Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden misalnya, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat Naib Presiden, semua saya sokong.

“Kalau kita lihat semua mereka, rekodnya baik tapi kalau kita tak pilih, janganlah rendahkan martabat orang lain, ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PKR Langkawi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam kalangan calon yang bertanding jawatan tertinggi parti itu adalah sahabat yang pernah sama-sama berjuang sejak awal penubuhan PKR.

Disebabkan itu katanya, ahli PKR terutama yang baru terbabit dalam parti perlu mengingat jasa dan pengorbanan pimpinan terbabit tanpa merendahkan sumbangan yang telah mereka berikan sejak sekian lama.

“Yang bertarung itu orang yang banyak berjasa, jadi jangan ambil sikap bermusuh. Jika ada berbeza pendapat, kena ada sikap ihsan dan kasih sayang di kalangan kita

“Sebahagian besar mereka adalah pejuang asal, oleh itu kita jangan tambah… tingkatkan suhu kehangatan, kita mesti leraikan dengan baik.

“Walau kita berbeza pendapat dalam suatu perkara, kita tak boleh nafi jasa, khidmat, pengorbanan yang tinggi oleh orang ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, PKR dibina di atas prinsip dan nilai akhlak yang tinggi sehingga mampu menjadi antara parti yang memerintah negara ketika ini.

“Saya tak nafikan kadang-kadang keterlanjuran ini menyebabkan orang lupa bahawa teras parti ini adalah soal nilai dan prinsip yang kita perlu jaga, kalau kita sedar hal ini, maka soal akhlak menjadi keutamaan.

“Jangan disebabkan kita berbeza pendapat kita bermusuhan berlebih-lebihan. Kena ada ehsan, ada hadnya, ada susah orang, ada derita yang kita kena fikir keseluruhan aspek ini baru boleh jadi parti dan pimpinan yang adil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top