'Kalau ada (jodoh), insya-Allah', Adira enggan ulas 'jejaka misteri'

'Kalau ada (jodoh), insya-Allah', Adira enggan ulas 'jejaka misteri'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Rawang: Penyanyi, Adira Suhaimi, 35, mengakui dia tidak memikirkan untuk berkahwin baharu selagi bicara pengesahan lafaz rujuknya dengan bekas suami, Datuk Red, 48, belum selesai sepenuh.

Adira berkata, prosiding kes masih berjalan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, dan dia perlu akur sehingga semua diselesaikan dulu.

“Saya nak beri tumpuan dan fokus pada perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk ini dulu sebab masih lagi berjalan di mahkamah. Macam mana saya nak kawin? Kes pun belum selesai lagi. Bagi dia (Red), mudah untuk dia berkahwin kan?

“Pada pihak saya, nak kahwin susah juga dan macam mana kita nak rancang, perkara ini (lafaz rujuk) pun tidak selesai lagi? Beri masa untuk saya selesaikan dulu dan kalau ada (jodoh), insya-Allah,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah, hari ini.

Dalam pada itu, Adira turut enggan mengulas lebih lanjut mengenai hubungannya dengan ‘jejaka misteri’ berikutan pernah membuat perkongsian foto di Instagram (IG) pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Tak apa (mengenai hubungan cinta baharu). Saya akan cerita semua benda ini selepas hal ehwal mahkamah selesai, insya-Allah. Saya nak fokus untuk selesaikan dulu kes rujuk ini.

“Bila sudah selesai semuanya dan ada keputusan. Mungkin baharu saya boleh buka semua cerita. Tunggu dululah ye,” katanya tenang.

Terdahulu, Hakim Syarie Afif Sofiuddin Abd Ghani menetapkan tarikh 3 September depan untuk menyambung prosiding kes pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan Red.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top