Kalau anda buat salah mestilah kena saman – Anthony 

Kalau anda buat salah mestilah kena saman – Anthony 

KUALA LUMPUR – Dakwaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengeluarkan sebanyak 13,000 saman bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sepanjang musim perayaan adalah palsu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya hanya mengarahkan jabatan itu mengambil langkah pencegahan agar jumlah kemalangan jalan raya dikurangkan.

“Salah satu matlamat utama JPJ adalah memastikan keselamatan jalan raya terjamin terutama pada musim perayaan nanti.

“Penguatkuasaan oleh JPJ pasti ada semasa musim Aidilfitri nanti dan operasi yang dibuat bagi memastikan pengguna trafik patuh kepada undang-undang. Jika anda buat salah pasti anda disaman, itulah maksudnya,” katanya.

Anthony Loke meninjau suasana TBS menjelang musim perayaan Aidilfitri

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Anthony turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan berita yang tular di media sosial dan semak dahulu kesahihan fakta itu sebelum berkongsi.

Semalam, tular mesej berkenaan di aplikasi WhatsApp mendakwa setiap operasi JPJ telah ditetapkan dengan KPI tertentu bagi mencapai jumlah saman mengikut arahan Kementerian Pengangkutan.

Ia mendakwa agensi itu telah menetapkan sasaran KPI sebanyak 13,000 saman dari 1 hingga 20 April dan 1,500 kenderaan akan disita dalam tempoh sama. – MalaysiaGazette