am@hmetro.com.my
Marang: “Kalau arwah ayah dan ibu ada, merekalah orang yang paling bahagia melihat kejayaan ini,” kata Nur Nabilah Abdul Rahim, 23, anak kepada suami isteri yang meninggal dunia selepas bot dinaiki terbalik di perairan Kuala Merchang, bulan lalu.
Nur Nabilah menerima tawaran pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan akan mendaftar masuk di Kampus Kuala Nerus pada 28 Sept ini bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Akuakultur.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, arwah bapa Abdul Rahim Mustaffa dan ibunya, Norhasriah Che Osman sangat mengimpikan untuk melihat ada dalam kalangan anak berjaya menjadi pensyarah suatu hari nanti.
Disebabkan itu, katanya dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi impian kedua orang tuanya.
“Sedih apabila mereka tidak ada bersama meraikan kejayaan ini. Saya percaya kalau mereka ada, merekalah orang yang paling bahagia ketika ini,” katanya selepas disantuni Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim di rumahnya di Pulau Kerengga, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, meskipun masih terasa dengan pemergian serentak insan kesayangannya, kesedihan itu sedikit terubat dengan tawaran kemasukan ke UMT dan dia juga tidak menyangka pihak pengurusan universiti membantu memudahkan urusannya.
Dia yang menamatkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Kota Bharu, Kelantan berkata, bantuan dihulurkan dapat meringankan beban ditanggung.
Sementara itu, Dr Mohd Zamri berkata, pihaknya mempercepatkan proses kemasukan melanjutkan pengajian Nur Nabilah selepas mengambil kira situasi dihadapi wanita itu bersama adik-beradiknya yang kehilangan ibu bapa sekelip mata.
“Nur Nabilah juga layak untuk diserapkan dalam program khas yang menaja yuran pengajian pelajar berkelayakan dalam kalangan keluarga B40, dengan syarat mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.0 setiap semester,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




