am@hmetro.com.my
Taiping: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menolak sebarang bentuk tajaan pemberian atau daripada syarikat yang mempunyai kontrak kerja dengan pihak berkuasa tempatan itu dalam usaha memupuk integriti warganya sekali gus membasmi budaya rasuah.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, penolakan itu termasuk seperti tajaan haiwan korban sempena Aidiladha kerana berpotensi memperlihatkan PBT itu seakan-akan mempunyai hubungan melebihi daripada hubungan kerja dengan menerima manfaat secara terus daripada kontraktor terbabit.
Katanya, langkah itu diharap menjadi contoh kepada semua warga MPT dalam memelihara integriti sehalus mungkin, terutamanya bagi mengelakkan situasi ‘termakan budi’ seterusnya mempengaruhi keputusan dalam setiap tindakan penguatkuasaan yang diambil kepada kontraktor berkenaan.
“Sewaktu raya ada syarikat yang mempunyai kerja dengan kita menjemput ke rumah terbuka mereka, pun saya kata tak boleh pergi bagi mengelakkan kita dilihat seolah-olah ada hubungan yang melebihi daripada hubungan kerja, walaupun di PBT lain ia tiada masalah untuk hadir.
“Yang terbaru menghampiri Raya Haji (Aidiladha) ini ada syarikat yang nak taja kita lembu korban. Saya pun kata kami MPT bukannya orang susah… Saya kena jaga benda ini supaya menjadi contoh kepada pegawai dan kakitangan bawah saya supaya isu integriti ini perlu dijaga sehalus mungkin.
“Apabila kita menerima tawaran seperti itu, kadangkala mereka akan ada buat silap dalam kontrak atau ada dalam kontrak itu yang tidak dipatuhi sepenuhnya. Masa itu kita juga akan jadi serba salah untuk kenakan penalti sebab sudah termakan budi walaupun niat mereka bukan sebegitu,” katanya.
Akmal berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) MPT Tahun 2026 di Dewan Perbandaran Taiping, di sini petang semalam.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Azizul Ahmad Sarkawi dan Timbalannya (Pencegahan), Mohd Syahrul Ridzuan Yahaya.
Kata Akmal, tajaan pihak luar mungkin diterima dalam bentuk pemberian yang bukan mendatangkan manfaat secara langsung kepada kakitangan yang terbabit dalam tugas penguatkukuasaan seperti tajaan untuk memberi makan haiwan di Zoo Taiping & Night Safari (Zoo Taiping) yang berada di bawah pengurusan MPT.
Katanya, kos untuk penyediaan makanan haiwan di Zoo Taiping mencecah puluhan ribu Ringgit setahun, bergantung kepada jenis haiwan yang justeru, tajaan kepada zoo terbabit dilihat tidak mendatangkan manfaat secara langsung atau mempengaruhi tindakan penguatkuasaan.
“Saya katakan kalau terlalu berhajat bolehlah menaja penyediaan makanan haiwan di Zoo Taiping. Memang kita buka tawaran untuk menaja kos penyediaan makanan di situ kerana ada haiwan yang kos makanannya mencecah antara RM10,000 ke RM20,000 setahun.
“Perkara tajaan begini saya boleh terima sebab ia tiada pulangan faedah secara langsung kepada kita sebagai sebagai orang yang buat keputusan dalam menguruskan kontrak.
“Mungkin ia dilihat terlalu drastik tetapi kita kena mulakan begitu untuk ia boleh dinormalisasikan kemudian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




