suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Tiga lelaki maut dan seorang wanita parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di Kilometer (KM) 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin, di sini, awal pagi hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.07 pagi.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Volkswagen melanggar bahagian belakang sebuah lori simen.
“Terdapat empat mangsa tersepit dalam kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, seorang wanita berusia 27 tahun pula parah di kepala serta patah kaki kiri.
“Operasi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




