'Kalau saya jumpa PM, apakah saya jadi pengkhianat? – Hamzah

'Kalau saya jumpa PM, apakah saya jadi pengkhianat? – Hamzah

Larut: Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan tuduhan melabel beliau pengkhianat susulan pertemuan bersama beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang dipecat keahlian oleh BERSATU menegaskan, pertemuan dengan mana-mana pemimpin termasuk tokoh kerajaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melabelkan seseorang sebagai pengkhianat.

“Kalau saya jumpa Perdana Menteri (PM), apakah saya jadi pengkhianat? Jumpa PM bukan satu kesalahan.

“Saya hanya mahu meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara serta memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut.

Sebelum ini Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak bersetuju sekiranya parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah menyertai Perikanan Nasional (PN).

Muhyiddin turut membangkitkan mengenai pertemuan Hamzah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’ sebagai antara punca Ahli Parlimen Larut itu dipecat daripada parti.

Dalam pada itu, Hamzah berkata beliau sendiri tidak mengetahui sebab sebenar perkara itu dan mempersoalkan mengapa pertemuan dengan pemimpin politik dijadikan isu.

“Kenapa tidak boleh terima, saya pun tidak tahu. Ada yang kata saya pengkhianat sebab jumpa pemimpin tertentu.

“Bagi saya, yang penting keikhlasan kita untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top