“Kalau tiada fitnah, mungkin arwah dapat diselamatkan..” – Adik pemandu lori

Adik kepada pemandu lori, Ahmad Sukri Abd Samad iaitu Mohd Azmi berkongsi cerita berhubung kejadian menimpa abangnya yang maut akibat serangan jantung di Hospital Sungai Buloh, kelmarin.

Sebelum itu, Ahmad Sukri dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum merempuh tiga kereta lain di Jalan BRP 8/2 Sungai Buloh sehingga videonya tular di media sosial.

“Ketika berada di hospital, saya ada dimaklumkan oleh kakak, Rosilawati Abd Samad, 47, bahawa ada video abang ketika kemalangan tetapi individu yang merakam video berkenaan memberi pelbagai alasan untuk tidak menunjukkannya kepada kami.
“Bagaimanapun, ada rakan sekerja arwah memaklumkan video berkenaan tular pagi semalam dan hanya ketika itu saya melihat isi kandungan video terbabit termasuk dakwaan individu yang mendakwa abang memandu dalam keadaan mabuk.
“Jika fitnah itu tiada, mungkin abang boleh dihantar lebih awal ke hospital dan mungkin berjaya menyelamatkan nyawanya,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Kredit foto; Harian Metro

Menurut Mohd Azmi, kakaknya memaklumkan terdapat beberapa orang awam mahu membantu arwah ketika kejadian namun mereka ‘berubah fikiran’  selepas mendengar fitnah daripada si perakam.

Selain itu, dia dan ahli keluarga juga sudah berbincang bagi membuat laporan polis berhubung individu memfitnah abangnya termasuk penyebar video agar boleh dijadikan pengajaran.

“Pada mulanya kami tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan namun selepas membaca komen-komen sedemikian, saya rasa kami perlu bertindak,” ujarnya.

Bercerita mengenai abangnya, Mohd Azmi berkata arwah masih bujang dan membantu menyara kakak serta empat anaknya dari segi kewangan selepas kematian abang ipar sejak lima tahun lalu.

Allahyarham yang berusia 49 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, petang semalam.

Terdahulu, tular satu video dipercayai dirakam oleh seorang wanita dengan Ahmad Sukri memandu dalam keadaan mabuk sedangkan arwah sedang perit menahan kesakitan.

Sumber: Harian Metro (Nurul Hidayah Bahaudin) , Facebook