Kami ada ramai pemain boleh isi tempat Kane- Kompany

Kami ada ramai pemain boleh isi tempat Kane- Kompany

Munich: Bayern Munich tidak bimbang kehilangan Harry Kane yang disahkan mengalami kecederaan, dengan kelab itu memiliki ramai pemain berbakat yang boleh mengisi ketiadaan penyerang itu, kata pengendali Bayern, Vincent Kompany.

Jelas Kompany, persiapan pasukannya tidak akan terjejas menjelang aksi menentang Bayern Leverkusan dalam saingan 16 terbaik Piala Jerman, esok.

Kane yang juga ketua pasukan England sudah meledak 20 gol dalam semua kejohanan musim ini dan mendahului senarai penjaring Bundesliga disahkan mengalami kecederaan otot peha ketika seri 1-1 dengan Borussia Dortmund, Sabtu lalu.

Penyerang itu dijangka diketepikan untuk beberapa minggu namun Kompany berharap Kane dapat kembali sebelum cuti musim sejuk 22 Disember ini.

Ketika ini Bayern berada di puncak Bundesliga dengan kelebihan empat mata di depan Eintracht Frankfurt.

“Sukar untuk bercakap mengenai Kane pada masa ini tetapi saya harap dia boleh beraksi sebelum masuk tahun baharu,” kata Kompany.

“Tetapi dia akan terlepas beberapa perlawanan dan untuk menggantikannya, anda tahu anda tidak boleh menggantikan pemain sehebatnya, itulah sebabnya dia adalah pemain terbaik”.

Kompany berkata, pemain seperti Thomas Mueller, Serge Gnabry, Michael Olise dan Leroy Sane mampu mengisi tempat Kane.

“Kami mempunyai bakat dalam pasukan dan perlu menyelesaikannya secara berbeza. Kami tidak akan ketandusan penyerang namun pasukan akan kelihatan berbeza.

“Kami mempunyai banyak pilihan. Thomas Mueller, Mathys Tel, Gnabry, Olise, Leroy. Saya kini hamper memuktamadkan senarai pemain. Jelas sekali, Kane sudah menjaringkan 20 gol…tetapi kami mempunyai pemain berbahaya di bahagian serangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top