‘Kami berhak menang’

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan pasukannya berhak mendapat tiga mata walaupun bergelut untuk mencatatkan kemenangan ke atas West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Menurutnya, para pemain United memberikan tekanan, mencipta peluang, menunjukkan tindak balas yang bagus ketika ketinggalan menerusi gol awal West Ham selain menjelaskan pasukannya itu seharusnya mendapat dua penalti dalam perlawanan tersebut.

“Kami berhak menang dan saya gembira dengan persembahan pemain. 11 sepakan penjuru dan beberapa peluang besar yang terhidang. Saya rasa 10-15 minit pertama pada separuh masa kedua kami menekan mereka dengan baik dan memaksa mereka memberikan bola kepada kami lima hingga enam kali dalam kawasan mereka.

“Kami perlu bekerja keras terutama ketika bertahan. Pada separuh masa pertama kami mudah diserang dan membuka ruang kepada pemain West Ham. Kami akan cuba memperbaiki dari sudut itu.

“Saya juga perlu berhati-hati untuk bercakap mengenai penalti. Tetapi, kami sepatutnya mendapat dua penalti ketika Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba dijatuhkan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Said Benrahma terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-30 sebelum penyerang sensasi Untied, Ronalo meledak gol penyamaan lima minit berselang.

Pemain gantian, Jesse Lingard menjadi wira buat United apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-89 sekali gus memastikan tiga mata berharga buat The Red Devils.

Dalam pada itu, Solskjaer menyifatkan Lingard tidak terkesan dan telah bangkit daripada kesilapan yang dilakukannya ketika kekalahan kepada Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini.

“Anda perlu belajar hidup dalam keadaan suka dan duka. Dia meminta maaf selepas aksi Selasa dan semua orang merasakan ia tidak perlu. Dia masuk hari ini dan beraksi cemerlang. Ia gol yang hebat. Saya gembira untuk Jesse.

“Sudah tentu dia mengharungi saat sukar pada Selasa, tetapi dia bangkit dan bekerja keras semula. Saya gembira untuknya. Hantaran yang cantik daripada Nemanja (Matic) dan gerakan menarik daripada Jesse,” katanya.