am@hmetro.com.my
Baling: Keluarga seorang warga emas meluahkan kebimbangan selepas Abd Razak Abd Rahman, 88, gagal dikesan sejak keluar dari rumahnya di sini, pagi semalam.
Anaknya, Muhammad, 65, berkata, dia menyedari kehilangan bapanya itu pada jam 8 pagi semalam di rumah mereka di Kampung Batu 7, Jalan Kroh, dekat sini.
Katanya, seluruh keluarga berharap bapanya itu dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
“Puas kami mencari ayah sekitar jam 8 pagi semalam dalam rumah dan sekitar kawasan berhampiran kerana biasanya kalau ayah keluar ke kedai dekat sini, ayah akan balik.
“Tapi kali ini dia tak balik sampai sekarang, kami susah hati dan bimbangkan keselamatannya. Penduduk kampung yang pergi solat Subuh pagi semalam pun beritahu ayah tidak pergi masjid yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter saja dari rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Muhammad berkata, kebiasaannya jika bapanya hendak ke mana-mana di kawasan kampung ini atau ke kedai, ada penduduk kampung akan menghantarnya balik ke rumah tetapi sejak semalam sampailah sekarang, kelibat bapanya masih belum kelihatan.
Katanya, mereka turut berusaha mencarinya di merata tempat dengan bantuan penduduk kampung tetapi tidak jumpa menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis.
“Saya bimbangkan keselamatan ayah dan berlaku perkara tidak diingini tetapi yakin ayah selamat. Keadaan ayah yang uzur selain daya ingatannya yang agak kurang disebabkan faktor usia menyebabkan kami terlalu bimbang.
“Kami sudah menghubungi saudara-mara yang lain untuk bertanyakan mungkin ayah ke rumah mereka tetapi dimaklumkan ayah tiada di rumah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad berharap sesiapa yang menemui bapanya supaya memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, berkata, setakat ini warga emas itu belum ditemukan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung warga emas terbabit boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling atau mana-mana balai polis berhampiran.
Lelaki warga emas itu mempunyai ketinggian 140 sentimeter (sm), anggaran berat 50 kilogram (kg), berambut putih, bulu kening halus, janggut dan misai putih manakala badannya bongkok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




