'Kami hanya 'wajah' perantara' – Ameer Ali Mydin

'Kami hanya 'wajah' perantara' – Ameer Ali Mydin

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin menghargai setiap pujian diberikan orang ramai susulan kebenaran diberikan kepada pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming bagi mendapatkan stok di premis miliknya supaya dapat disalurkan kepada mangsa banjir.

Ameer berkata, dia hanyalah ‘wajah’ perantara dan pihak di belakang tabir seperti sukarelawan misi bantuan banjir lebih banyak memainkan peranan penting.

“Terima kasih saya ucapkan dengan pujian diberikan. Sudah tentu saya berterima kasih dengan semua kata-kata baik dan pujian diberikan.

“Kami hanya ‘wajah’ dan begitu juga Khairul Aming. Tapi, pihak di belakang tabir seperti sukarelawan banyak bekerja,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Misi Bantuan Banjir 2024 #SuaraBantuan anjuran Media Prima Audio (MPA) di Mydin Mall USJ, di sini.

Mengulas mengenai detik awal situasi itu terjadi, Ameer berkata, dia hanya mengikuti perkembangan situasi banjir melalui siaran langsung dibuat Khairul dan memikirkan cara untuk membantu mangsa banjir.

“Ketika itu Khairul Aming berada Kelantan. Saya dengar ‘live’ dia dalam TikTok. Bila dengar situasi di sana, saya fikir apa boleh bantu.

“Tapi saya tak reti bagaimana hendak sertai ‘live’ yang dia buat, jadi saya tanya staff dan mereka bantu. Akhirnya dapat ‘live’ dengan Khairul Aming,” katanya.

Terdahulu, menerusi video tular, Ameer menyatakan pempengaruh itu boleh mengambil seberapa banyak stok barangan yang diperlukan tanpa menjelaskan apa-apa bayaran sehinggalah tragedi banjir pulih.

Beliau memberi kepercayaan penuh kepada Khairul Aming dalam usaha membantu mereka yang memerlukan terutama di kawasan yang dikunjungi pempengaruh itu untuk tujuan agihan dan penyaluran bantuan.

Dalam video itu, Ameer dilapor memberitahu Mydin akan memberikan 5,000 lagi barang sebagai tambahan kepada pempengaruh itu dalam usaha membantu mangsa banjir.

Sementara itu, mengenai Misi Bantuan Banjir 2024, Mydin bekerjasama dengan MPA dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Dengan ‘tagline’ #SuaraBantuan, misi berkenan adalah inisiatif kemanusiaan yang bertujuan meringankan beban mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa kawasan lain di Malaysia.

Misi Bantuan Banjir 2024 memfokuskan usaha untuk mengumpul serta menyampaikan bantuan kepada komuniti yang memerlukan di lokasi-lokasi yang terkesan.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran dan Ketua Setiausaha MAPIM, Faris Hussain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top