'Kami langsung tak mampu bersaing' – Slot

'Kami langsung tak mampu bersaing' – Slot

Liverpool: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui suasana di Anfield kini suram selepas kemerosotan pasukannya berterusan dengan kekalahan 1-4 kepada PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Tekanan terhadap Slot semakin memuncak selepas kekalahan memalukan itu menjadikan The Reds tewas sembilan kali dalam 12 perlawanan terakhir di semua kejohanan, rekod terburuk mereka dalam 12 perlawanan sejak musim 1953-54.

“Emosi kami sangat negatif dan mengecewakan. Saya juga mengharapkan dan menjangka persembahan yang lebih baik, kerana aksi kami jauh daripada apa yang biasa kami pamerkan. Walaupun kami kalah sebelum ini, prestasi kami tetap lebih baik,” kata Slot.

Statistik sepanjang kemerosotan Liverpool memang mengejutkan. Mereka tewas tiga perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dengan perbezaan tiga gol, dan kubu kebal Anfield turut runtuh, apabila kekalahan di laman sendiri kini melebihi jumlah keseluruhan musim lalu.

“Walaupun kami tidak bermain baik, kami masih boleh menjaringkan dua gol dan mencipta peluang. Tetapi kami langsung tidak mampu bersaing… kerana kami terlalu mudah dibolosi,” kata Slot.

Permulaan musim yang bermasalah ini hadir walaupun kelab berbelanja besar sebanyak 446 juta pound (RM2.44 bilion) pada jendela perpindahan musim panas, termasuk membawa masuk Alexander Isak sebagai rekod pembelian Britain.

Namun Isak, yang masuk sebagai pemain gantian lewat perlawanan menentang PSV, hampir tidak memberi impak.

Bintang utama Liverpool, Mohamed Salah, juga kelihatan jauh daripada prestasi terbaiknya yang menyaksikannya muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu.

“Ia sukar kerana saya bermain untuk pasukan yang saya sokong. Saya penyokong, saya lihat kelab ini sepanjang hidup saya. Sudah sangat lama saya tidak melihat Liverpool melalui tempoh seperti ini, dengan keputusan seteruk ini.

“Tapi akhirnya, kami masih membawa lambang kelab ini di dada. Selagi lambang itu ada, kami akan terus berjuang.

“Kami akan cuba membawa pasukan ini kembali ke tempat sepatutnya, tunjukkan semula kepada semua siapa kami dan kenapa orang panggil Liverpool pasukan terbaik di dunia,” kata pemain tengah Liverpool, Curtis Jones kepada RTE Sports.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top