DUBAI – Industri pelancongan Dubai kini berdepan krisis besar apabila perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong, sekali gus menjejaskan sektor hotel dan perniagaan tempatan.
Lapangan Terbang Dubai melaporkan bahawa trafik penumpang pada suku pertama tahun ini menurun sekurang-kurangnya 2.5 juta berbanding tempoh sama pada 2025.
Bulan Mac mencatatkan penurunan sehingga 66 peratus apabila pelancong memilih untuk menjauhi rantau Teluk.
Syarikat itu tidak mengeluarkan unjuran penuh tahun ini, namun pada Sabtu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bahawa semua sekatan perjalanan udara yang dikenakan selepas Iran melancarkan serangan balas ke atas enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah ditarik balik.
Dalam kenyataan di platform X, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keadaan operasi dan keselamatan dengan kerjasama pihak berkaitan.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha memulihkan keyakinan pelancong antarabangsa, terutamanya selepas beberapa syarikat penerbangan Eropah menggantung penerbangan ke rantau Asia Barat.
Bagaimanapun, pekerja dan pengusaha perniagaan di Dubai yang ditemui Middle East Eye berkata, keadaan masih belum pulih dan memerlukan masa untuk melihat keyakinan pelancong kembali.
Seorang pekerja hotel dari Kenya dikenali sebagai Charity berkata, hotel kelas pertengahan tempatnya bekerja terkesan teruk dengan kemasukan 1.4 juta pelawat dalam tempoh dua minggu pertama Mac.
Semasa Ramadan, ketika serangan peluru berpandu dan dron Iran berada pada tahap paling intensif, hotel berkenaan dipenuhi penumpang yang terkandas dan berurusan dengan wakil Emirates Airlines di lobi.
Pada tempoh itu, kolam renang hotel ditutup kepada tetamu, dan menjelang akhir krisis, tetamu di tingkat atas bangunan 20 tingkat itu dipindahkan ke tingkat bawah sebagai langkah keselamatan.
“Selepas itu, keadaan menjadi perlahan selama beberapa minggu,” katanya.
Beliau berharap pengumuman baharu itu dapat mengembalikan keyakinan pelancong.
“Kami perlukan orang [pelancong asing] untuk kembali,” katanya.
Terminal lengang dan suasana berubah
Sementara itu, penumpang tetap turut menyedari perubahan ketara suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang selama 12 tahun berturut-turut menjadi lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa.
Samina, seorang pekerja NGO dari Asia Selatan yang kerap berulang-alik antara Asia, Teluk dan Amerika Utara berkata, Terminal 3 yang menempatkan Emirates Airlines kini kelihatan kosong.
“Apabila masuk, ia kosong,” katanya.
“Terminal 1 dan 2 seperti bandar hantu,” katanya lagi, merujuk kepada terminal syarikat penerbangan lain serta FlyDubai.
Menurutnya, penggantungan penerbangan oleh syarikat antarabangsa memberi kesan besar kepada trafik, dengan majoriti penumpang kini hanyalah transit.
Lapangan Terbang Dubai melaporkan hanya 51 daripada 90 syarikat penerbangan telah kembali beroperasi, manakala syarikat Eropah dan Amerika Syarikat berdepan kesukaran mendapatkan insurans akibat amaran perjalanan kerajaan.
Dubai kini giat berusaha memulihkan keyakinan penduduk dan pelancong. Bendera UAE dipasang di merata tempat termasuk bangunan, papan iklan digital dan lebuh raya.
Di City Walk, paparan elektronik besar mengucapkan terima kasih kepada penduduk dalam bahasa Arab dan Inggeris, manakala potret Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, terpampang dengan mesej “Semoga negara kita kekal dalam perlindungan Tuhan”.
Namun, penduduk lama dan pengusaha perniagaan berkata, kesan serangan peluru berpandu dan dron dapat dirasai dengan segera.
Tatiana, warga Rusia yang mengurus syarikat logistik, berkata ramai perniagaan mula mempertimbangkan untuk keluar dari UAE.
“Dalam dua minggu pertama, orang kata ia tidak lagi berbaloi untuk tinggal di sini. Mereka bukan takut, tetapi rasa ia tidak lagi berbaloi,” katanya.
Beliau menambah bahawa banyak perniagaan mula mencairkan aset mereka dan keluarganya kini sedang mempertimbangkan perpindahan ke Eropah.
Sementara itu, Antoine, seorang editor latihan penulis berkata. salah seorang pelanggannya di agensi pengiklanan terpaksa mengurus pemberhentian kira-kira 1,000 pekerja.
“Saya fikir pengiklanan adalah industri yang tahan perang,” katanya.
Tatiana pula berkata perniagaannya turut terkesan kerana asas perkhidmatan mereka adalah untuk meyakinkan pelabur bahawa UAE adalah tempat selamat.
Arjun, seorang penduduk India di UAE berkata, suasana Dubai sebagai bandar bebas konflik kini telah berubah.
“Seluruh etos Dubai sebagai tempat bebas konflik telah tergugat,” katanya.-Agensi



